Upacara ‘candlelight vigil’ atau berhimpun bersolidariti sambil menyalakan lilin adalah dilarang bagi umat Islam kerana ia menyerupai u...

6:18 PM by Unknown

Upacara ‘candlelight vigil’ atau berhimpun bersolidariti sambil menyalakan lilin adalah dilarang bagi umat Islam kerana ia menyerupai upacara agama lain.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menegaskan, Islam melarang umatnya daripada terlibat dalam apa jua amalan yang bersifat ritual atau upacara agama bukan Islam.
“Muzakarah  Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009  telah memutuskan bahawa umat Islam dilarang menyertai aktiviti ‘candlelight vigil’ kerana ia mengandungi unsur-unsur tasyabbuh dengan agama bukan Islam yang akan menjejaskan akidah umat Islam,” menurut kenyataan muzakarah tersebut yang dikeluarkan menerusi laman rasmi Facebook Fatwa Malaysia.
Mengulas lanjut, Jawatankuasa muzakarah berkata di  dalam Islam, cahaya atau api yang dihasilkan oleh lilin dan selainnya tidak memberi apa-apa pengertian berkaitan aqidah dan kepercayaan.
“Cahaya atau api hanya merupakan satu alat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT bagi memudahkan urusan kehidupan manusia. Bagaimanapun, api atau cahaya menjadi satu perkara yang amat signifikan bagi agama-agama bukan Islam terutamanya bagi agama majoriti di negara ini iaitu Kristian, Hindu dan Buddha,” jelas jawatankuasa tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, amalan ‘candlelight vigil’ khasnya atau kuasa cahaya atau api amnya mempunyai perkaitan langsung dengan ketiga-tiga agama tersebut.
“Upacara berhimpun di suatu tempat dengan membakar lilin sebagai tanda protes adalah menyerupai amalan agama orang bukan Islam. Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam,” jelasnya.
Terdahulu, upacara ‘candlelight vigil’ kembali hangat diperkatakan apabila para pemimpin dan penyokong pembangkang berhimpun bersolidariti sambil menyalakan lilin di hadapan Penjara Sungai Buloh sebagai simbol untuk pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terdahulu ketua Anak Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha mereka berhimpun sambil memegang lilin adalah semata-mata untuk menunjukan solidariti terhadap Anwar dan bukannya melakukan upacara keagamaan.
| Sinar Harian