TIGA tahun dibazirkan tanpa sebarang usaha untuk mengekalkan namanya dalam industri sebagai seorang penyanyi. Lebih dikenali sebagai Niey...

7:30 AM by Unknown
TIGA tahun dibazirkan tanpa sebarang usaha untuk mengekalkan namanya dalam industri sebagai seorang penyanyi.

Lebih dikenali sebagai Nieyl atau Nuriylia Jailani, 31, mengakui sepanjang tempoh berkenaan, tidak banyak yang dilakukan selain memberi tumpuan kepada puteri tunggalnya, Damia Dazma Shah yang kini sudah berusia enam tahun.

Cuma apabila anaknya semakin membesar, barulah Nieyl sedar bahawa dia sebenarnya amat merindui dunia nyanyian yang cukup dekat di hatinya malah teruja untuk membuat kemunculan semula apabila suaminya turut memberikan lampu hijau.

Kini hadir dengan single Kisah Kita berduet dengan penyanyi Sabhi Sadhi yang semakin mendapat sambutan peminat,

Nieyl sebelum ini pernah muncul dengan single Sering namun kurang mendapat respons memberangsangkan. Mengakui kesal kerana tidak mengenali orang yang tepat untuk tujuan promosi lagu tersebut, Nieyl akur menerima kegagalan sebagai penyanyi pada waktu itu.

“Saya tak mahu tuding jari kepada sesiapa kerana kesalahan itu memang datangnya daripada diri sendiri. Saya tak kenal orang yang tepat, saya bergerak sendiri dan punya kekangan dari segi peruntukan kos secara keseluruhannya.

“Saya rasa terumbang-ambing dan hilang arah. Saya tak letakkan kelemahan kepada lagu kerana bagi saya lagu itu bagus. Kegagalan adalah dari segi promosi sahaja,” katanya.

Kini diuruskan oleh syarikat Maskteam, Nieyl bersyukur kerana selepas melahirkan hasrat untuk kembali aktif dalam dunia seni, Maskteam membuka banyak ruang untuk dirinya mencari peluang dalam industri biarpun terpaksa merangkak seolah-olah seperti orang baharu.

“Saya kena mulakan daripada A semula. Bayangkan, tiga tahun lamanya tidak berkecimpung dalam industri, bila masuk semula, saya rasa janggal. Banyak wajah baharu dalam indsutri dan saya tak nafikan, barangkali ada yang langsung tidak ingat siapa saya,” katanya.
Sedar diri

Tidak kecil hati dengan perkara tersebut kerana sedar, selama menyepikan diri tidak ada sebarang produk yang diketengahkan yang membolehkan peminat seni muzik tanah air mengingati namanya sebagai seorang penyanyi.

Cuma bersandar kepada program realiti Mentor musim kedua, Nieyl tahu banyak kerja yang perlu dilakukan dengan kesempatan yang diberikan kali ini.

“Saya faham dan tak marah pun kalau ada yang tidak kenal siapa saya. Malah ada juga yang sering tersalah anggap menyamakan saya dengan Allahyarham Yanie, bekas peserta program Mentor musim ketiga yang dikatakan mempunyai wajah seperti saya.

“Tak apalah, saya terima kerana belum rezeki saya untuk benar-benar dikenali biarpun sudah hampir sembilan tahun saya menjadi penyanyi,” katanya yang juga merupakan pengasas perniagaan tudung dengan jenama sendiri, Justnieyl.

Bercerita mengenai pengalamannya kembali masuk ke studio rakaman buat pertama kalinya selepas tiga tahun menyepi, kata Nieyl, semangatnya seakan-akan hilang dan berada dalam keadaan tertekan apabila merasakan dirinya tiada lagi potensi sebagai seorang penyanyi yang dinamik.

“Mula-mula nak rakam lagu itu, saya tak boleh bawakannya dengan baik. Saya tak boleh menyanyi dan asyik berhenti separuh jalan. Tiga tahun tak merakamkan sebarang lagu, buat pertama kalinya saya rasa susah untuk menyanyi. Entah kenapa.

“Saya rasa rendah diri dan sedih seorang diri apabila mengenang keadaan itu, Tetapi Amylea yang menghasilkan lagu itu memberi semangat kepada saya sehinggalah saya berjaya habiskan proses rakaman dengan baik,” katanya.

Mengulas mengenai kesetiaannya mendapatkan khidmat Amylea sebagai komposer biarpun single terdahulu gagal, kata Nieyl , dia yakin hasil kerja wanita itu malah selesa bekerja dengannya.

“Kebetulan kami juga sudah berkawan lama. Jadi, dia sudah tahu kehendak saya. Tak pernah timbul istilah serik sebab saya tahu setiap kerjanya berkualiti dan dia sangat komited,” katanya mengenai Amylea yang juga bekas peserta Akademi Fantasi musim ketiga.

Menarik perhatiannya berhubung isu persaingan antara penyanyi baharu,Nieyl tidak menafikan kehebatan bakat baharu yang lebih berkebolehan. Namun itu bukan sebab untuknya mengalah.

“Saya tahu ramai artis baharu yang lebih muda, cantik dan berbakat. Tapi saya percaya kepada rezeki. Insya-Allah, ada peluang untuk saya terus bernafas dalam industri ini biarpun saya sedar, segalanya kembali membuatkan saya bertatih dari awal,” katanya yang juga merupakan duta produk Snowcells.

Dalam pada itu, Nieyl juga bercadang untuk menghasilkan sebuah album kompilasi memuatkan lima buah lagu termasuk sebuah lagu baharu menjelang pertengahan tahun ini.

-Utusan Online - Oleh: SITI ATHIRAH DZULKIFLY