Akibat terlalu banyak menerima kritikan, 
Scha Al-Yahya perlu menguatkan diri agar kehidupan bersama keluarganya tenang. RIAK wajah pel...

11:00 PM by Unknown
Akibat terlalu banyak menerima kritikan, 
Scha Al-Yahya perlu menguatkan diri agar kehidupan bersama keluarganya tenang.

RIAK wajah pelakon ini tidak menunjukkan sebarang perubahan tatkala diminta mengulas tentang tindakan suaminya yang berang apabila salah seorang pengikut Instagram menegur hidung anak mereka.

Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu lagi memanjangkan perkara itu sedangkan banyak lagi perkara lain yang perlu diselesaikan.

Enggan mengambil pusing, Scha Al-Yahya mengaku, suaminya, Awal Ashaari seorang yang mudah terasa hati.

“Dia (Awal) mudah menunjukkan ekspresi yang dia rasa. Kalau marah, dia akan tunjukkan. Begitu juga kalau sayang pun kita boleh nampak cara dia. Itu memang dia.

“Apa lagi orang itu (peminat) cuba mengkritik fizikal anak kami, Lara Alana. Dia seorang yang sentiasa mahu melindungi insan yang dia sayang. Bila emosinya cuba dijentik, memang dia tidak akan dapat mengawalnya sehingga boleh membawa amarah.

“Saya pula bukan orang seperti itu. Kalau ikutkan memang saya pun geram bila ada yang beri komen begitu. Tetapi saya tidak suka tunjuk dan layan perkara itu,” jawabnya tenang ketika ditemui selepas majlis pelancaran Scha Alyahya for Fashion Valet, di Damansara Performing Art Centre, baru-baru ini.

Sebelum ini, ada peminat yang cuba memberi petua kepada Awal dan Scha agar kerap mengurut hidung anaknya supaya kelihatan lebih mancung.

Tindakan peminat yang cuba memberi petua itu telah menimbulkan salah faham. Mungkin nasihat itu tidak kena pada masa.

Melanjutkan perbualan petang itu, Scha memberitahu, dia tidak mahu menyalahkan sesiapa berhubung hal berkenaan.

“Kritikan itu sudah biasa buat saya. Ada sahaja yang tidak kena. Semuanya tidak betul di mata umum. Dari saya kahwin sampai dapat anak. Tetap ada sahaja benda yang orang cuba kritik.

“Saya anggap perkara itu sebagai lumrah. Sejak wujudnya Instagram, ada sahaja benda yang orang akan cakap. Bagi saya ia lebih banyak kepada hentaman. Apa sahaja gambar yang dimuat naik pasti ada sahaja yang mereka kritik termasuklah fizikal Lara.

“Jadi, saya beritahu kepada Awal supaya tidak terlalu melayan perkara itu. Tidak baik sebenarnya kerana ia dapat menjatuhkan moral kita. Kalau kita tidak kuat, boleh menangis dibuatnya.

“Lagipun, kita tidak kenal latar belakang orang yang memberi pendapat atau komen di Instagram. Akhirnya, Lara tetap anak kami dan yang penting cara kami untuk mendidik dia sehingga besar nanti,” katanya yang tidak pernah memendam rasa dendam.

Bahagia dengan kehadiran anaknya, Scha juga tidak mahu statusnya sebagai seorang selebriti digunakan oleh masyarakat untuk memperkatakan tentang kehidupan mereka.

Katanya, jangan khalayak lupa akan nilai kemanusiaan sehingga boleh menjadi biadap dan ada cara jika mahu memberi nasihat.

“Kami juga ada hati dan perasaan. Kena faham sensitiviti. Cuma saya berasakan hal ini tak patut terjadi kerana ia membabitkan seorang bayi. Lara tak tahu apa.

“Bagi saya, cukuplah dia sihat dan cukup sifat. Itu sudah memadai dan saya memanjat kesyukuran,” tutur ibu berusia 32 tahun ini.

- Utusan Online