KUALA LUMPUR: Ibu kepada Lara Alana, Scha Alyahya mengakui beliau lebih 'cool' dalam berdepan sesuatu situasi berbanding suami, Awal Ashaari yang lantang mempertahankan perkara yang menyentuh keluarga pasangan itu.
Contoh terdekat, Awal bersuara keras di laman Instagram apabila ada perkara dibangkitkan pengikutnya di laman bergambar popular itu yang mempersoalkan saiz hidung Lara yang dikatakan mirip ibunya.
"Memang orang yang kenal saya tahu saya ini jenis orang yang tak suka tunjuk perasaan. Saya tak lantang seperti Awal. Jika sayang Awal, saya tak tunjuk. Begitu juga kalau diterpa perasaan marah yang membara.
"Kalau Awal, tahulah dia memang sangat lantang. Kalau dia geram atau marah memang dia akan lepaskan perasaan yang bertandang itu terutama perkara yang disentuh itu berkait rapat dengan orang yang dia sayangi.
"Saya tak salahkan dia dalam hal sebegitu. Dia amat melindungi insan yang disayanginya seperti saya dan anak kami. Saya tak rasa benda itu salah. Manusia biasa pastinya kita akan terasa apabila dicuit orang lain," kata bekas pengacara Muzik Muzik TV3 itu.
Mengikut Scha, sekalipun dia dan suaminya bergelar figura awam atau dikatakan menjadi hak masyarakat, itu tidak bererti orang ramai bebas untuk berkata apa saja mengenai kehidupan mereka.
"Tak bererti ia lesen yang membuatkan khalayak melupakan nilai kemanusiaan sesama kita. Kami juga ada hati dan perasaan. Kena faham sensitiviti. Ada cara menegur dan menasihati yang berhemah," katanya.
Sempat ditanya mengenai isu terbaru fizikal anaknya yang disentuh peminat, Scha mempunyai pandangannya: "Secara jujurnya apabila ada orang pertikai fizikal, ada garis antara mahu menasihati dan kecenderungan menjadi biadap.
"Sebagai artis, saya kena pandai menerima apa saja kritikan mahupun nasihat. Saya tak boleh larut atau alpa dengan semua ini. Kena cepat sedar.
"Cuma saya berasakan hal ini tak patut terjadi kerana ia membabitkan seorang bayi. Lara tak tahu apa. Bagi saya, cukuplah dia sihat dan cukup sifat. Itu sudah memadai dan saya memanjat kesyukuran," katanya.
Lara yang kini memasuki usia lapan bulan, antara bayi kepada artis popular yang kini memiliki akaun laman sosial sendiri.
Selain Lara, Diana Danielle, Ning Baizura, Yasmin Hani turut mewujudkan akaun Instagram untuk bayi baru lahir mereka yang dilihat aliran terkini selebriti tanah air.
Scha turut ditanya BH Online apakah anaknya berkemungkinan berdepan dengan perkara yang membahayakan keselamatannya, pelakon yang pernah dikenali dengan drama Awan Dania itu menjelaskan, setakat ini belum ada perkara yang tidak diingini berlaku.
"Setakat ini, tak ada benda yang tak elok terjadi. Apabila meningkat jumlah peminatnya di laman Instagram, saya pernah terfikir soal keselamatannya juga. Tapi di Malaysia kita ada undang-undang tegas. Minta simpanglah terhadap perkara yang tak elok ini, Insya-Allah," katanya yang terus mempromosikan jenama Bio Essence, Yakult dan Rexona.
Scha menjelaskan perkembangan terkini itu tidak langsung menjejaskan tumpuan terhadap kerjayanya apabila dia masih memenuhi undangan berlakon.
"Saya akan sibuk dengan telefilem terbitan Suhan Movies tak lama lagi. Selain itu ada beberapa tawaran untuk telefilem raya. Saya juga baru saja kembali dari Istanbul baru-baru ini menjalani penggambaran serta promosi projek fesyen rekaan Rizalman edisi raya untuk Zalora.
"Projek fesyen ini turut merangkumi cereka pendek yang akan ditayangkan di laman sosial. Saya buat kali pertama berlakon di samping Fauziah Nawi. Boleh tengok lakonan kami yang penuh emosi dan air mata. Saya berbesar hati berlakon di sisinya," kata Scha yang turut terbabit dengan kempen Fashion Valet bagi koleksi Ready to Wear.
- Dari BHOnline 26/3/15 Oleh Zaidi Mohamad



