SINGAPURA: Papa Rock Singapura, Ramli Sarip, diangkat sebagai salah seorang Duta Bahasa Melayu bagi kempen Bulan Bahasa tahun ini.
Demikian diumumkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Masagos Zulkifli, yang juga merupakan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS). Duta-duta baru yang lain belum diumumkan.
Bercakap di sidang media mengenai Bulan Bahasa 2015, beliau berkata Ramli Sarip dipilih bukan sahaja kerana beliau seorang penyanyi popular, tetapi juga kerana beliau seorang seniman yang menggunakan seni kata yang baik dalam lagu-lagu beliau.
Sebelum ini, penyanyi lain seperti Imran Ajmain dan Zaibaktian juga diangkat sebagai Duta Bahasa Melayu.
50 TAHUN BAHASA DAN SASTERA MELAYU
Bagi kempen Bulan Bahasa tahun ini juga, perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu sepanjang 50 tahun lalu akan diraikan sempena sambutan jubli emas Singapura.
Ia juga sebahagian daripada usaha berterusan MBMS untuk melestarikan bahasa Melayu, sebagai Bangsa Kebangsaan Singapura.
Buat julung-julung kalinya, sempena SG50, sebuah buku kenangan yang memaparkan sumbangan perintis Melayu dan perkembangan bahasa Melayu di Singapura akan dilancarkan.
Di sidang media siang tadi itu, Encik Masagos yang juga menjadi Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Dalam Negeri turut mendedahkan logo Majlis Bahasa sempena sambutan SG50.
Menampilkan motif batik, ia diolah daripada logo asal SG50, dan akan digunakan di semua acara-acara yang dianjurkan Majlis Bahasa sempena jubli emas negara.
Kawasan-kawasan perumahan di mana kegiatan Bulan Bahasa akan diadakan adalah Tampines, Nee Soon, Jurong dan Choa Chu Kang.
Di perasmian Bulan Bahasa di Gardens by the Bay pada 5 September itu, sebuah buku serta pameran yang menyusur sejarah dan perkembangan bahasa dan kesusteraan Melayu akan dilancarkan.
Kini di tahap suntingan, buku kenangan itu mengandungi rencana yang disumbangkan oleh 20 penulis merangkumi pelbagai bidang.
Timbalan Pengerusi Satu, Majlis Bahasa Melayu Singapura, Profesor Hadijah Rahmat berkata, ini adalah pertama kali dokumentasi tentang sejarah perkembangan bahasa Melayu dikumpulkan secara menyeluruh.
Dua versi, iaitu buku mewah atau 'coffee table' yang bergambar, dan satu lagi buku versi elektronik akan ditawarkan.
Sempena sambutan SG50, Majlis Bahasa turut mengumumkan anugerah khas bagi menghargai sumbangan dan usaha para guru perintis dalam melestarikan bahasa dan budaya Melayu, menerusi Anugerah Guru Arif Budiman.
Dan buat pertama kali Singapura akan menjadi tuan rumah untuk menganjurkan Sidang Majlis Sastera Asia Tenggara MASTERA yang ke-21 dan Seminar Sastera atau SAKAT pada September nanti.


