BERGAMBAR sehingga kelihatan seksi menggiurkan, hal yang bukan luar biasa buat artis wanita di Malaysia meskipun akan dianggap kurang sopan...

11:51 AM by Unknown
BERGAMBAR sehingga kelihatan seksi menggiurkan, hal yang bukan luar biasa buat artis wanita di Malaysia meskipun akan dianggap kurang sopan. Membelakangkan norma kehidupan masyarakat Timur yang penuh dengan nilai-nilai murni, artis sebegini tidak peduli apa orang mahu kata, janji mereka sendiri selesa.

Terbaharu, pelakon Diana Danielle yang tampil dalam sebuah majalah, sambil membuat tayangan percuma aset-aset peribadinya seperti paha, pinggul dan dada yang menggiurkan.

Itu Diana. Tiga tahun lalu, Nora Danish juga pernah terpalit dengan isu beraksi seksi sebegitu. Keberaniannya bergambar dalam sebuah majalah menimbulkan kemarahan dan rasa jengkel ramai pihak kerana ia disifat menyentuh sensitiviti masyarakat.

Bertemu Nora ketika pelancaran filem Isteri Untuk Dijual di Wisma Metrowealth baru-baru ini, wanita berusia 33 tahun ini sekali lagi disoal perkara itu memandangkan industri hiburan semakin digemparkan dengan satu persatu kisah aksi selebriti tampil dengan imej seksi sebagai penghias muka depan majalah.

HITS: Nama Nora pernah terbabit dalam isu artis beraksi seksi. Masih teringat bagaimana dikutuk khalayak dulu?

NORA: Perkara ini sudah lama berlaku. Saya sendiri telah melupakannya. Tidak ada apa yang baru hendak saya kongsikan. Cukuplah ia memberi pengajaran dan saya jadikan sebagai pengalaman dalam hidup.

Tapi sekarang, semakin ramai artis berani bergambar seksi. Komen?

Itu pilihan mereka. Saya tidak ada apa hendak diulas. Sebenarnya saya juga faham apa yang dirasai oleh rakan artis saya yang baru-baru ini dikaitkan dengan insiden yang seperti mana pernah saya lalui.

Menyokong tindakan rakan artis bergambar seksi?

Bukan begitu. Saya bermula dalam industri ini menerusi didikan pengarah Aziz M. Osman. Sejak itu saya memang sudah terbiasa mendengar arahan pengarah dan akan cuba berikan yang terbaik seperti yang diminta pengarah.

Saya jenis yang tidak pandai membantah dan itu juga cara untuk hormat pengarah saya. Sama juga jika saya menjalani penggambaran sesi fotografi misalnya untuk menjadi penghias kulit majalah. Saya juga tidak mahu mengecewakan pihak majalah itu.

Ketika menjalani fotografi, pihak berkenaan meminta saya pakai baju yang mereka sediakan dan ada memberitahu saya tidak mahu pakai baju sebegitu. Tetapi, mereka minta juga saya pakai. Bila saya pakai, nampak pula perut dan bahagian lain.

Kenapa Nora tidak memaklumkan kepada pihak majalah supaya membuat suntingan jika tahu hasilnya tidak memuaskan?

Jujur, saya rasa diri ditipu. Pihak mereka ada memberitahu akan membuat suntingan pada gambar tersebut tetapi rupa-rupanya mereka beri janji palsu pada saya dan ketika itu saya rasa teraniaya.

Apabila gambar tersiar saya terus dikecam. Sudahlah gambar itu tersebar ketika sedang menunaikan umrah di tanah suci Mekah.

Apa tindakan Nora?

Saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana semuanya sudah tersiar. Ia memberi pengajaran yang sangat besar kepada diri saya. Kini, saya menjadi lebih berhati-hati terutama jika dipilih menjadi penghias kulit majalah kerana tidak sanggup lagi menjadi mangsa janji manis pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perkembangan terkini Nora?

Saya kini sibuk dengan persiapan pembukaan kafe yang diberi nama Kopi N XOXO dan terletak di Bangsar. Ini merupakan kafe yang dikongsi bersama teman baik saya.

Kafe ini berkonsepkan butik dan saya akan meletakkan fesyen jubah jenama saya sendiri iaitu Nora Danish. Dari segi dekorasi, susun atur meja dan kerusi, konsep hinggalah pilihan menu, modalnya lebih kurang RM100,000.

Apa keistimewaan kafe Nora?

Sekarang kami sedang dalam fasa untuk mencari menu yang sesuai dan mampu menarik orang untuk datang ke kafe itu. Saya mahu orang datang kerana makanan yang kita jual sedap.

Perkembangan bidang lakonan pula?
Saya sedang menantikan tayangan filem lakonannya Hantu Bungkus Ikat Tepi dan Suami Jatuh Dari Langit yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Untuk filem baharu, Isteri Untuk Dijual, saya akan bergandingan buat pertama kali dengan pelakon Kamal Adli. Filem ini merupakan arahan Eyra Rahman dan saya akan memegang watak sebagai Anabella. Dia (Anabella) pada asalnya hanyalah seorang model penghias majalah yang akhirnya menjadi seorang model terkenal.

- Utusan Online