Tiga tahun dalam industri, pelakon dari Singapura, Atikah Suhaime, 24, diterima dengan baik masyarakat di sini. Buktinya, tahun lalu nam...

3:02 PM by Unknown
Tiga tahun dalam industri, pelakon dari Singapura, Atikah Suhaime, 24, diterima dengan baik masyarakat di sini.

Buktinya, tahun lalu namanya disenaraikan untuk Artis Baru Popular di Anugerah Bintang Popular BH 2013 (ABPBH2013) tetapi tahun ini berjaya menempatkan diri antara lima terbaik untuk tiga kategori, Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Wanita Popular serta Gandingan Serasi Di Layar bersama Syafiq Kyle.

Apakah pencalonan itu boleh dijadikan penanda aras menentukan populariti artis? Atikah mengakui terkejut dengan pencalonan namanya untuk tiga kategori kerana sebelum ini sasarannya untuk berada di tahap itu selepas lima tahun bertapak sebagai pelakon.

Katanya, apabila namanya dicalonkan dalam lima terbaik, ia menunjukkan dia mempunyai peminat yang menyokong kerjaya seninya di Malaysia.

“Bagi saya, pencalonan itu bukan penanda aras untuk menentukan populariti, malah saya rasa belum berada pada tahap popular.

“Walaupun berasal dari Singapura, saya diterima dengan baik di sini. Saya terharu dengan sokongan peminat di sini dan tidak menyangka kehadiran saya diterima dengan baik.

“Mencapai tahap popular itu, rasanya belum sampai lagi. Masih jauh lagi perjalanan untuk betul-betul dikatakan terkenal. Saya berterima kasih kepada peminat kerana tanpa mereka, tidak mungkin nama saya disenaraikan dalam lima terbaik,” katanya.

Kata Atikah, pencalonannya juga bukan menandakan dirinya terkenal tetapi bermakna peminat ingin melihat dirinya berjaya dan tidak pernah berhenti menyokong kerjayanya.

“Bagaimanapun, saya berbesar hati kerana dicalonkan bersama nama besar seperti Cristina Suzanne, Siti Saleha, Emma Maembong dan Nad Zainal. Saya terharu kerana hampir sama taraf dengan mereka,” katanya yang tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang mana-mana kategori.

Gadis manis berlesung pipi ini lebih dulu membintangi filem, kemudian mengorak langkah memegang watak utama dalam telefilem dan watak sampingan dalam Ariana Rose. Peminat mula menyedari kehadirannya apabila berlakon dalam siri Bila Hari Berbicara.

Dia akui masih banyak perlu dipelajari untuk menjadi pelakon yang baik.

“Saya umpama biskut yang baru hendak dibentuk. Walaupun pengikut saya di Instagram hanya ada 145,000, saya sangat bersyukur kerana mereka tidak pernah lelah mengundi saya.

“Pencapaian saya pada hari ini adalah hasil sokongan mereka sebenarnya. Tanpa peminat, tidak mungkin saya mampu berdiri di tempat sama dengan pelakon berpengalaman lain,” katanya.

Antara filem dan drama, Atikah mengakui dirinya lebih cepat mendapat perhatian apabila drama itu disiarkan di televisyen. Dia tidak menafikan menerusi drama, namanya kerap menjadi sebutan.

“Memanglah apabila berlakon drama lebih ramai akan bercakap mengenai kita, tetapi situasi itu cuma dalam masa sing­kat. Selepas tamat drama itu, penonton akan bercakap mengenai pelakon lain pula.

“Namun, saya bersyukur kerana apabila tidak ada drama lakonan saya, ada filem ditayangkan di pawagam. Produk itu dapat mengubat kerinduan peminat yang ingin melihat saya berlakon,” katanya.

Mengenai cinta, Atikah malu-malu untuk berkongsi cerita mengenai kehidupan peribadinya, apatah lagi dia baru berkenalan dengan jejaka itu selama sebulan.

Bagi Atikah, sukar meramal perkara seterusnya yang bakal terjadi kerana hubungan itu masih baru. Katanya, dia juga tidak mahu memperkatakan perkara yang belum sah dan lebih selesa berbicara mengenai kerjaya.

“Perkara itu umpama tawaran kerja. Selagi tidak tandatangan kontrak, tawaran itu belum sah milik kita. Begitu juga dalam soal cinta. Saya belum sah menjadi milik dia, itu yang menyebabkan belum masanya untuk membuka cerita.

“Tambah pula, saya tidak mahu dikenali sebagai pelakon yang bercinta dengan lelaki itu dan ini. Saya mahu orang kenal saya kerana produk. Dalam hidup, kita perlu meletakkan garis panduan bagi mencapai kejayaan,” katanya.

| HarianMetro - Oleh: Ardini Sophia Sina | email: hellinie@hmetro.com.my