Pertemuan dengan Nur Ernawati Mohd Nor, 27, dua tahun lalu berjaya mengetuk pintu hati pelakon berbakat besar Zul Huzaimy Marzuki, 37, unt...

3:08 PM by Unknown
Pertemuan dengan Nur Ernawati Mohd Nor, 27, dua tahun lalu berjaya mengetuk pintu hati pelakon berbakat besar Zul Huzaimy Marzuki, 37, untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua selepas empat tahun menduda.

Perkenalan mereka bermula sebagai pelakon dengan peminat dan Erna yang sememangnya mengikuti perkembangan Zul tahu segala-galanya mengenai latar diri lelaki itu yang juga penulis skrip, pengarah drama dan teater.

Cerita Zul, mereka berdua berusaha untuk berkenalan dengan lebih rapat apabila dia meminta Erna mengambilnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) se­kembalinya daripada menjalani penggambaran di Pulau Pinang, namun pada hari itu Erna ada urusan lain.

“Tidak lama selepas itu saya sekali lagi memintanya me­ngambil saya di KLIA. Ketika itu hati saya berkata, jika kali ini Erna tidak dapat mengambil saya, saya pasrah.

“Barangkali kami ada jodoh kerana dia datang ke KLIA. Saya terus terpikat dengan keikhlasan hatinya berkawan dengan saya kerana Erna tidak ‘memandang’ saya sebagai artis.

“Saya dapat lihat kejujuran pada sinar matanya dan pada pertemuan itu saya tidak langsung berasakan seperti artis berjumpa peminat. Saya jatuh hati padanya dan ketika itu juga saya melamarnya,” katanya.

Pun begitu, Erna tidak terus menerimanya dan sebalik­nya dia meminta untuk berfikir. Selepas hampir dua tahun barulah dia sudi menerima lamaran Zul dan ­mereka bertunang pada 16 Di­sember tahun lalu.

Zul berkata, selain dirinya, paling penting Erna boleh menerima anak hasil perkahwinan pertamanya, Awal Haziq, 10, seperti anaknya sendiri.

“Syarat utama saya memilih wanita untuk dijadikan isteri apabila dia dapat menerima zuriat saya. Ini kerana saya tidak boleh mencari kebahagiaan sendiri dengan mengabaikan kegembiraan anak tunggal saya,” katanya.

Selepas segala janji tersimpul kemas di hati kedua-duanya, malam Jumaat lalu bertempat Kelab Golf Bangi, Selangor, mereka diijabkabulkan di hadapan keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.

Dengan sekali lafaz, Erna sah menjadi isteri kepada Zul.

Mengenakan persalinan serba putih, kedua-duanya tampil anggun dan berseri.

Pada hari bahagia itu, Erna menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran sebanyak RM21,515.15.

Sementara itu, Erna berkata, dalam memilih suami dia tidak melihat paras rupa, kedudukan dan status.

“Sama ada dia artis atau orang biasa, yang penting dia bertanggung­jawab. Zul juga ada beritahu saya, mana-mana wanita yang ingin dikahwininya mestilah dapat menerima anaknya.

“Saya mengerti perasaannya itu dan alhamdulillah, kali pertama berjumpa kami sudah serasi. Kami jadi kawan dan hari ini (pernikahan), dia panggil saya umi,” katanya.

Oleh Nor Akmar Samudin | akmar@hmetro.com.my | HarianMetro |