Dengan zaman yang penuh kemodenan dan cabaran, untuk mencari pasangan hidup yang baik bukanlah suatu hal yang mudah. Kita harus menit...

5:33 PM by Unknown

Dengan zaman yang penuh kemodenan dan cabaran, untuk mencari pasangan hidup yang baik bukanlah suatu hal yang mudah. Kita harus menitikberatkan pelbagai perkara sebelum membuat keputusan untuk mengahwini seseorang.

Hari ini, khusus buat kaum wanita, kami ingin kongsikan 13 kriteria / ciri-ciri wanita idaman lelaki untuk dijadikan sebagai isteri. Nak tahu apa? Jom baca:

1. Rupa Paras
Rupa paras yang cantik adalah kelebihan kepada wanita. Tetapi, rupa paras yang cantik adalah terlalu subjektif untuk digambarkan dan setiap lelaki mempunyai pandangan yang berbeza mengenai istilah cantik. Namun, kadangkala lelaki tidak memandang paras rupa semata-mata, kerana bagi mereka, rupa paras yang cantik belum tentu menggambarkan hati yang suci.

2. Pegangan Agama
Kebiasaannya, wanita idaman lelaki untuk dijadikan isteri perlu mempunyai pegangan agama yang kuat supaya dapat mendidik anak-anak mereka kelak. Selain itu, wanita yang berpegang teguh pada ajaran agama mampu menjaga dirinya dengan baik, disamping menjaga maruah si suami kelak. Pegangan agama yang teguh juga menjamin rumah tangga yang harmoni dan diredhai Tuhan.

3. Budi Pekerti
Budi pekerti yang baik pasti menjadi idaman setiap lelaki. Tingkah laku, adab dan kesopanan menjadi elemen terpenting dalam menilai seseorang. Bagi lelaki, wanita yang baik budi pekerti pasti akan melahirkan anak yang baik.

4. Pandai Memasak
Bagi kaum adam, mereka memandang tinggi kepada wanita yang pandai dan rajin memasak, kerana ia merupakan bonus buat mereka jika mendapat isteri sebegitu. Air tangan isteri mampu membahagiakan sang suami dan mengukuhkan lagi mahligai yang dibina.

5. Bijak Menguruskan Kewangan
Selain lelaki, wanita juga harus bijak menguruskan kewangan, kerana sedikit sebanyak dapat membantu pasangan apabila sudah berkahwin dalam menguruskan kewangan keluarga. Jika bakal si isteri bijak menguruskan kewangan, itu menandakan bahawa dia bukan seorang yang boros. Pengurusan kewangan yang baik dapat menjamin masa depan yang cerah bersama anak-anak kelak.

6. Pandai Mengambil Hati Keluarga Mertua
Wanita perlu bijak mengambil hati keluarga calon mertua. Jangan terlalu peramah, dan jangan terlalu pendiam, setiap perbuatan itu harus ada batasan yang perlu dijaga. Apa yang penting adalah, anda harus menjadi diri sendiri tanpa perlu berpura-pura.

7. Menerima Seadanya
Wanita yang sanggup menerima segala kelemahan pasangan mereka adalah wanita yang sangat berharga bagi kaum lelaki. Lumrah kehidupan pasti ada turun naiknya. Kehidupan suami isteri perlu seiring dan sejalan serta bersama-sama menempuh pahit manis dalam fasa perkahwinan.

8. Hormat
Setinggi mana pun pangkat dan darjat, hormat dan patuh pada suami adalah sangat penting. Biasanya, lelaki tidak mengharapkan penghormatan yang tinggi seperti tunduk kepadanya sehingga tidak boleh bersuara, cukup sekadar menghormatinya sebagai seorang suami dan ketua keluarga.

9. Bersedia Menerima Teguran
Teguran yang diterima bukan bermakna benci. Tetapi teguran itu untuk memberikan kebaikan kepada anda. Semua pasangan menginginkan kesempurnaan dalam hubungan mereka, jadi terimalah teguran calon suami dengan hati yang terbuka kerana lelaki akan berasa lebih selesa dengan bakal isteri yang bersedia menerima teguran dan tidak mudah merajuk.

10. Setia
Semua orang menginginkan pasangan yang setia. Kesetiaan dalam perhubungan suami isteri amatlah penting, kerana anda akan hidup lama dengan pasangan anda. Sudah tentu, setiap lelaki mahukan calon isteri yang setia bersama mereka, selamanya.

11. Berdikari
Kaum adam sangat kagum dan mudah tertarik dengan wanita yang pandai berdikari. Ini bermakna si isteri mampu untuk melakukan sesuatu perkara tanpa terlalu bergantung kepada mereka. Wanita yang pandai dan biasa berdikari boleh memberi kesenangan dalam mengharungi kehidupan berumah tangga kelak. Terlalu bergantung kepada lelaki bukan sahaja menimbulkan kesusahan tetapi juga akan merimaskan lelaki.

12. Manja
Lelaki sukakan wanita yang bersifat sedikit keanak-anakan atau yang mempunyai sifat manja, supaya lelaki boleh memainkan peranan sebagai pelindung. Namun diingatkan bahawa, sifat manja dan keanak-anakan yang melampau tidak sesuai, kerana ia akan menampakkan wanita itu seperti kurang matang, dan lelaki tidak suka akan hal tersebut.

13. Tidak Terlalu Cerewet
Lelaki suka pada wanita yang tidak terlalu cerewet. Wanita yang cerewet boleh merimaskan dan boleh menyebabkan lelaki merasa jemu. Biasanya, wanita yang cerewet suka mengkritik apa saja yang tidak disenanginya walaupun perkara itu hanyalah perkara kecil bagi lelaki.

Semoga sedikit info yang kami kongsikan ini bermanfaat buat anda dan boleh menjadi kayu pengukur dalam menilai keperibadian diri anda sendiri sebagai calon isteri buat lelaki yang anda cintai. Mudah-mudahan, anda mampu berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.