NEW YORK – Kisah tujuh beradik yang hidup terkurung di dalam rumah selama 14 tahun oleh bapa mereka kini dijadikan sebuah dokumentari. ...

2:45 PM by Unknown

NEW YORK – Kisah tujuh beradik yang hidup terkurung di dalam rumah selama 14 tahun oleh bapa mereka kini dijadikan sebuah dokumentari.
Dokumentari bertajuk The Wolfpack itu memaparkan semula kehidupan Bhagavan yang kini berusia 23 tahun, Govinda dan kembarnya, Narayana, 22, Mukunda, 20, Krisna, 18, Jagadesh, 17, dan kakak sulung mereka, Visnu, 24.
Dokumentari sepanjang 24 minit itu menggambarkan kehidupan terasing tujuh remaja tersebut di sebuah apartmen di Manhattan bersama ibu bapa mereka, Susanne serta Oscar Angulo.
Kehidupan yang terkurung itu menyebabkan mereka hanya mempelajari mengenai kehidupan di dunia luar melalui lebih 5,000 filem Hollywood yang ditonton.
“Pengalaman bertemu mereka seumpama menemui satu suku kaum yang hidup tersembunyi tetapi bukan di satu ceruk dunia yang jauh, sebaliknya di bandar besar Manhattan ini,” kata pengarah dokumentari itu, Crystal Moselle.
Katanya, suatu yang istimewa ialah kanak-kanak berkenaan ketika ditemui mempunyai sikap amat lemah lembut, berwawasan serta mempunyai perasaan ingin tahu yang mendalam.
“Tentu ada sesuatu yang betul dilakukan oleh ibu bapa mereka,” katanya.
Bapa mereka yang merupakan seorang imigran dari Peru dikatakan mempunyai masalah paranoia serta ketagihan alkohol dan sentiasa mengunci pintu depan apartmennya sejak 1996 kerana bimbang kehidupan di New York akan ‘merosakkan’ anak-anaknya.
Kisah mereka terbongkar selepas salah seorang adik-beradik itu, Mukunda melarikan diri dari rumah dan berjalan-jalan di sekeliling bandar Manhattan pada awal 2010. – Agensi

| Kosmo |