DENVER - AMERIKA SYARIKAT. ‘Gila dan hilang akal’, itulah perkataan sesuai untuk menggambarkan perbuatan seorang anak terhadap ibunya apabi...

7:24 PM by Unknown
DENVER - AMERIKA SYARIKAT. ‘Gila dan hilang akal’, itulah perkataan sesuai untuk menggambarkan perbuatan seorang anak terhadap ibunya apabila tergamak meracuni ibunya sendiri dek kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ibunya yang merampas iPhone miliknya.

Memetik laporan Reuters, budak perempuan berusia 12 tahun itu telah melakukan cubaan membunuh ibunya sebanyak dua kali dengan kaedah mencampurkan minuman ibunya dengan cecair peluntur.

Oleh kerana tidak tahan dengan sikap anaknya itu, ibunya membuat laporan polis.

Menurut jurucakap polis, Heidi Prentup berkata, ketika keterangan anak perempuan itu diambil,budak itu  mengakui bahawa cubaan membunuh ibunya adalah kerana berang dengan ibunya yang ‘sesuka hati’ merampas iPhone kesayangannya.

“Cubaan pertama berlaku pada 2 Mac lalu apabila budak itu memperdayakan ibunya dengan memberikannya minuman yang dicampur dengan cecair peluntur.

“Apabila mangsa minum air yang dibuat anaknya itu, dia berasa pelik apabila terbau cecair peluntur, namun dia menyangka gelas itu tidak dibilas dengan bersih.

“Namun selepas minum air berkenaan wanita itu jatuh sakit dan terpaksa dirawat di hospital beberapa hari,” katanya.

Mengulas lanjut, Heidi berkata selepas cubaan pertama gagal, budak itu sekali lagi mengatur langkah yang sama bagi membunuh ibunya.

“Tetapi kali ini, mangsa berasa curiga kerana terbau cecair peluntur, lantas mengesyaki sesuatu dan terus membuat laporan polis,” katanya.

Budak perempuan itu ditahan polis di rumahnya Jumaat lalu, dan kini ditahan di bawah pusat juvana, sementara menunggu pertuduhan yang akan dikenakan ke atasnya.

- Sinar Harian Online