ANUGERAH Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015, yang mempertaruhkan tujuh kategori akhirnya menyaksikan kemenangan besar buat karya adapt...

12:27 PM by Unknown
ANUGERAH Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015, yang mempertaruhkan tujuh kategori akhirnya menyaksikan kemenangan besar buat karya adaptasi, Rindu Awak 200 %, hasil nukilan asal, Liyana Zahim.

Selain menggondol tiga kategori iaitu Pelakon Lelaki Drama Pilihan, Penulis Skrip Drama Pilihan dan Pengarah Pilihan, drama bersiri ini juga turut merangkul kategori utama, Drama Pilihan.

Walaupun ramai yang mengakui kehebatan drama ini, namun bagi Liyana, sejujurnya dia tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada awalnya.

Malah, menurut Liyana, dia sendiri tidak menjangkakan kemenangan menerusi kategori keseluruhan meskipun berharap untuk menang.

"Saya memang sasar empat kategori dalam DFKL, iaitu Penulis Skrip Drama Pilihan, Hero & Heroin Pilihan, Pelakon Lelaki Drama Pilihan serta Pelakon Wanita Drama Pilihan.

"Tidak sangka pula Rindu Awak 200% turut menang kategori keseluruhan. Saya tak berani nak letak harapan tinggi untuk kategori itu kerana banyak saingan yang hebat-hebat. Namun, bila di akhir-akhir majlis, baru rasa mungkin karya ini menang setelah merangkul beberapa kategori lain.

"Saya terlalu gembira melihat kemenangan ini dan sejujurnya perasaan ini sukar untuk diungkap dengan kata-kata," ujar novelis yang bernaung di bawah syarikat penerbitan, Alaf 21 ini.

Tambah Liyana, kemenangan di majlis anugerah itu nyata memberi semangat baharu untuknya dalam menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu di masa akan datang.

"Saya rasa lebih bersemangat menulis lagi dan cuba mencari peluang. Mana tahu kalau ada rezeki lagi di depan hari.

"Dalam bidang ini, banyak saingan daripada penulis yang hebat-hebat dan anugerah ini adalah seperti batu loncatan bagi saya untuk pergi lebih jauh dalam dunia penulisan tanah air. Alhamdulillah.

"Namun, saya tidak rasa diri ini popular cuma, ada yang sudah kenal nama saya dalam bidang ini khususnya pembaca dan penonton. Jujur dari pandangan saya, novel Rindu Awak 200% itu sendiri yang lebih jauh popular dan dikenali. Penulis tak sangat sebab rata-rata lebih tertumpu kepada pelakonnya," jelasnya.

Beri hak kepada penulis skrip

Selain Rindu Awak 200%, Liyana memiliki tiga novel lain bersama Alaf 21, antaranya Curi-Curi Suka, Sekebun Bunga Cinta dan Rindu Tercipta. Masih meneruskan minatnya dalam bidang penulisan, Liyana memberitahu kini, dia sedang menulis karya seterusnya untuk dihidangkan kepada pembaca tidak lama lagi.

"Insya-ALLAH, kalau ada rezeki, karya saya akan mendapat tempat di Alaf 21 untuk tahun ini. Untuk novel lain, belum ada penerbit yang minta tapi, ada yang sudah bertanya dan merisik jalan ceritanya.

"Tapi, semua itu saya anggap sebagai rezeki dan tidak terlalu berharap sebab kadang-kadang tuah dalam hidup cuma datang sekali.

"Menariknya, sekarang orang gelar saya penulis Rindu Awak 200%, bukan Liyana Zahim, termasuklah di kalangan produksi, penulis skrip dan pengarah. Itu impak yang boleh saya nampak," katanya lagi.

Jelas Liyana, sekiranya ada koleksi novelnya yang bakal diangkat sebagai karya adaptasi, dia akan menyerahkan hak penulisan skrip kepada individu yang lebih layak.

Katanya, dia akan memberikan kerjasama tapi bukan untuk sepenuhnya kerana penulisan skrip memerlukan komitmen yang lebih tinggi.

"Fokus saya sekarang cuma nak siapkan novel seterusnya. Kalau ada masa sampingan mungkin saya akan meneliti skrip yang dah siap ditulis oleh penulis skrip tu sendiri.

Untuk Rindu Awak 200%, saya amat berpuas hati kerana sebelum diserahkan pada kru belakang tabir, saya diberi peluang mengubah mana-mana bahagian atas persetujuan produksi.

"Kebanyakan dialog juga diambil 70 peratus dari novel tanpa diubah termasuk jalan cerita. Alhamdulillah, Creative Skill Solution berlaku sepatutnya pada karya asal penulis.

"Apa-apa perubahan tertakluk kepada persetujuan dan pandangan saya juga. Secara peribadi, kerjasama dengan produksi itu adalah perkara paling manis bagi saya dalam bidang ini," katanya lagi.

Oleh AKMALIAH RAZAK - Sinar Harian Online