Alhamdulillah, syukur kita dapat meneruskan kehidupan dan kita ditakdirkan berada dalam daerah kebaikan iaitu kita dapat terus menimba i...

7:47 PM by Unknown

Alhamdulillah, syukur kita dapat meneruskan kehidupan dan kita ditakdirkan berada dalam daerah kebaikan iaitu kita dapat terus menimba ilmu pengetahuan.
InsyaAllah, mudah-mudahan dengan bertambah ilmu, bertambah juga kefahaman, bertambah penghayatan dan seterusnya bertambah amalan kita.
Saya tidak jemu-jemu mengingatkan diri saya dan para pembaca semua bahawa apa yang kita dapat dalam kehidupan ini adalah bagaimana kita melihat kehidupan dan mengambil manfaat daripada apa yang berlaku dalam kehidupan yang singkat ini.
Saya juga ingin mengingatkan bagaimana kita melihat kehidupan bergantung kepada kesedaran siapakah diri kita yang sebenarnya.
Jadi, Insya Allah kita telah memahami konsep kerana selalu menekankan bahawa hidup ini perlu dilihat daripada kaca mata Pencipta Hidup.
Hanya dengan itu barulah kita sebagai hamba Allah dapat mengambil manfaat daripada kehidupan ini.
Kita telah bermula lama dahulu, daripada membincangkan arah hidup, tujuan hidup, jalan hidup, bekalan hidup, penghalang hidup dan petang ini sampai ke penghujungnya iaitu akhir hidup.
Akhir hidup ialah kematian dan kita diminta melihat kematian sebagaimana Allah SWT melihatnya.
Kematian dalam Islam bukanlah satu pengakhiran, sepertimana yang difahami ramai manusia.
Sebenarnya mati merupakan permulaan kehidupan yang tak mati-mati.
Hidup sebelum mati itu penting tetapi hidup selepas mati itu lebih hakiki dan abadi.
Mati pada hakikatnya hanyalah satu proses transisi ke satu dunia lain.
Sebagaimana proses kelahiran yang memindahkan kita dari alam rahim ke alam dunia, proses kematian pula memindahkan kita dari dunia ke alam barzakh.
Namun, sayangnya kita lebih banyak membuat persiapan menyambut kelahiran berbanding kematian.
Sebab itu ada gurauan sinis yang mengatakan bahawa - 'Manusia lebih berminat membincangkan berkenaan kain lampin berbanding kain kapan'.
Perkara-perkara lain dalam kehidupan seperti kelahiran, perniagaan, perkahwinan bukanlah sesuatu yang pasti tetapi kematian adalah satu kepastian bagi setiap yang bernyawa.
Mati itu pasti dan sesuatu yang pasti itu adalah hampir.
Dalam Islam, detik kematian kita telah ditentukan ketika kita masih dalam rahim lagi tetapi kita tidak tahu bila ianya akan berlaku tetapi apa yang nyata adalah dengan setiap detik yang berlalu, kita semakin menghampiri detik kematian yang telah ditentukan.
Oleh sebab itu ketika sambutan ulang tahun kelahiran, kita sebenarnya semakin dekat mengampiri detik kematian.
Umur kita sebenarnya seumpama jam pasir yang terus-menerus mengalir, semakin lama, semakin berkurangan.
Saya teringat satu perumpamaan yang amat mengujakan ketika saya kecil dahulu – 'Kematian itu pasti dan kita tak dapat menentukan bilakah detiknya?'.
Tamsilannya seperti pokok kelapa, bila-bila masa saja mayangnya, bunganya atau buahnya yang muda atau tua boleh gugur.
Begitulah juga dengan kita, tak kira umur berapa pun boleh mati.
Cuba perhatikan sekeliling, ramai orang tua atau orang muda?
Biasanya kita akan nampak orang tua sedikit. Apa maknanya? Ramai orang muda mati dahulu sebelum sempat tua, sebab itulah sedikit sahaja golongan tua yang tinggal.
Oleh itu, kita semua perlu mengambil peringatan.
Dalam Islam mengingati mati merupakan sifat mahmudah yang terpuji.
Diriwayatkan bahawa para sahabat sering mengingati mati dan ada yang mengingati mati 70 sehingga 100 kali sehari.
Nabi SAW bersabda, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah;
“Aku bersama Rasul SAW dan kemudian datang seorang lelaki daripada kaum Ansar dan memberi salam kepada Rasul SAW, dan bertanya, “Siapakah mukmin yang terbaik?” Nabi SAW menjawab, “Mereka yang terbagus akhlaknya”.
Kemudian lelaki Ansar itu bertanya lagi, “ Siapakah mukmin yang tercerdik?”
Nabi SAW menjawab, “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik adalah mereka yang melakukan persiapan untuk kehidupan selepas itu.”
Ada banyak kelebihan mengingati mati, antaranya ialah:
Kita akan menyegerakan kerja.
Kita akan menyegerakan taubat – Kita tidak akan bertangguh-tangguh.
Kelazatan untuk menikmati maksiat akan kendur – Kita akan jadi takut untuk melakukan maksiat kerana akan memikirkan keadaan kita bertemu Allah.
Ada tiga golongan manusia, iaitu:
Yang lupa mati
Yang takut mati
Yang ingat mati
Ada kesan yang berbeza antara orang yang takut mati dan ingat mati.
Orang yang takut mati biasanya akan hilang semangat.
Keceriaan sudah hilang daripada wajahnya.
Dalam satu hadis Nabi SAW yang panjang, Nabi SAW menceritakan bahawa akan tiba suatu masa umat Islam akan dipermainkan musuh-musuh Islam.
Sabahat pun bertanya adakah kerana bilangan mereka sedikit?
Jawapannya tidak, bahkan bilangan kamu ramai tetapi seumpama buih di lautan sahaja.
Kenapa kita ditindas walaupun bilangan kita ramai?
Kerana Nabi SAW berkata kita terkena penyakit 'al-wahhan' iaitu cinta dunia dan takut mati.
Jadi, bagaimana yang dikatakan mati boleh memberikan kita semangat?
Apabila berlaku kematian, kita sebut "Innalillahiwainna ilahiroji'un” yang bermaksud, “Daripada Allah kami datang, dan kepada Allah kami akan dikembalikan.”
Jadi, jika kita tahu kita akan kembali kepada Allah, adakah kita takkan buat persiapan?
Kita perlu buat persiapan dan persediaan. Inilah kesan positifnya. Kita akan memperbanyakkan ibadah – ibadah asas, sunat dan umum.
Kita juga akan menjaga hubungan dengan Allah dan dengan manusia. Kita juga akan bekerja bersungguh-sungguh dan tidak sambil lewa.
Allah SWT yang kita akan jumpa menyukai hanya yang terbaik, oleh itu kita perlu itqaan (memberi yang terbaik) dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, tak kiralah sama ada pekerjaan berkaitan hubungan dengan Allah mahupun hubungan dengan manusia.
Kita akan sentiasa memperelokkan perkerjaan jika kita sentiasa ingat mati, kerana kita sedar pekerjaan tersebut akan dipersembahkan kepada Allah SWT nanti.
Jadi, ternafilah pendapat yang mengatakan jika ingat mati, orang akan jadi tidak bersemangat, tidak produktif dan tidak memberi kerja berkualiti.
Sebaliknya, ingat mati akan membantu meningkatkan produktiviti seseorang.
Kenapa? Orang yang ingat mati akan bekerja dengan bersungguh-sungguh.
Orang yang ingat mati tidak akan suka bertangguh-tangguh kerana sedar yang mati boleh datang tiba-tiba.
Oleh itu, kerana tidak mahu terhutang dengan majikan atau keluarga, seseorang itu akan menyiapkan kerja pada hari yang ditetapkan.
Saya pernah menghadapi cabaran menyakinkan seseorang tentang keperluan mengingati mati.
Orang itu berpendapat sekiranya kita ingat mati, kita tidak produktif kerana hanya ingin berada di masjid untuk solat, baca Quran dan berzikir sahaja.
Ini merupakan satu kesalahan yang besar dalam pemahaman Islam kita.
Ibadah dalam Islam terbahagi kepada 3 iaitu: Ibadah asas dan sunat yang berkaitan habluminallah, contohnya solat, baca al-Quran, berzikir dan sebagainya.
Ibadah umum contohnya seperti pekerjaan seharian kita yang memberi kebaikan kepada diri dan manusia lain.
Oleh itu, kerja kita juga merupakan persiapan untuk menghadapi kematian. Jika kita sedar fakta ini, adakah kita akan buat kerja sambil lewa ketika di pejabat? Tidak mungkin.
Sebab itu Rasul SAW sering mengingatkan, “Jika kamu nak solat, solatlah seumpama solat kamu yang terakhir.”
Begitulah juga dengan setiap pekerjaan lain yang kita dilakukan, contohnya bersama keluarga.
Jika kita ingat mati, pastilah kita akan melayan ahli keluarga dengan penuh kasih-sayang dan kemesraan.
Jadi, setakat itu sebagai pencerahan awal, mudah-mudah dapat diterima bahawa mengingati mati akan dapat menghidupkan hati kita.
Hati boleh jadi kotor, lalai, dan perlu dibersihkan dengan zikrullah (ingat Allah), dan zikrulmaut (ingat mati).
Oleh sebab Rasul SAW menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud, “Cukuplah mati itu sebagai peringatan”.
Saya melihat di sebalik soalan itu bagaimana kaedah untuk kita mengingati mati.
Kita tahu falsafahnya ialah hidupkanlah hati dengan mengingati mati tetapi bagaimana dengan tip-tip mengingati mati.
Betul, membayar khairat kematian juga merupakan satu persediaan menghadapi kematian tetapi itu cuma persediaan pengkebumian sahaja sedangkan yang lebih penting ialah persiapan kita bertemu dengan Allah.
Bagi saya, cara yang baik untuk mengingati mati adalah dengan mengikut cara yang ditunjukkan para ulama dengan menulis wasiat.
Berani tak kita menulis surat wasiat? Dahulu, setiap ahli usrah Ikhwan Muslimin pula menyimpan sepasang kain kapan dirumah.
Apabila hati mula rasa kasar atau keras, mereka akan merenung kain kapan tersebut dan mula mengingati mati semula.
Ada juga ulama-ulama tasawwuf dulu yang pergi lebih jauh lagi untuk mendidik hati tentang kematian – mereka korek liang lahad dan duduk di dalamnya untuk merasa betapa gelapnya, sempitnya, sunyinya dan tidak berteman.
Jadi, ketika itu kita akan menyedari itulah kematian yang kita akan hadapi. Para sahabat Nabi SAW, apabila mengingati mati, mereka terhalang daripada berbuat dosa.
Mereka merasakan bahawa detik mati itu sesuatu yang pasti yang mereka akan alami.
Selain itu, pergi menziarah hospital dengan melihat mayat, atau orang sakit tenat di ICU juga mengingatkan kita kepada mati.
Pada masa itu baru kita sedar bahawa orang yang sedang sakit itu juga pernah sihat seperti kita, pernah punya impian seperti kita. Namun, ketika sakit tenat, yang ada dalam hatinya mungkin bagaimana dia akan berdepan dengan Allah SWT.
Khairat kematian hanyalah persiapan fizikal dan material menghadapi kematian, tetapi kita sepatutnya kita lanjutkan kepada soal-soal tazkirah, peringatan, dan zikrullah.
Kesimpulannya, sebagai peringatan dengan mengingati mati kita terus menyuburkan hati kita dengan mengingati mati dan menjadikan peringatan itu sebagai obor untuk terus berbakti kepada Allah dengan bersungguh-sungguh tanpa bertangguh-tangguh.