Tebing Sungai Ye di tengah China yang dahulunya “kosong”, kini dipenuhi 12,000 pokok yang diairi sebatang sungai. Terima kasih kepada dua...

9:00 PM by Unknown
Tebing Sungai Ye di tengah China yang dahulunya “kosong”, kini dipenuhi 12,000 pokok yang diairi sebatang sungai.

Terima kasih kepada dua pekebun yang cukup gigih, walaupun seorang daripadanya cacat penglihatan dan seorang lagi tidak berlengan.

Sejak 13 tahun lalu, kedua-dua sahabat itu telah menanam dan menyiram pokok sedar, berhampiran kampung mereka di Wilayah Hebei, dalam usaha meningkatkan kualiti udara di wilayah yang terkenal dengan pencemaran udara itu.

Jia Haixia, 54, hilang penglihatan dalam satu kemalangan di tempat kerjanya, di sebuah kuari batu pada 2000.

Manakala Jia Wenqi, 53, pula terkena kejutan elektrik ketika berusia 3 tahun yang menyebabkan kedua-dua tangannya terpaksa dipotong.

Wenqi pernah menjelajah bersama sekumpulan orang kelainan upaya (OKU), dengan membuat demonstrasi menulis kaligrafi menggunakan kakinya, sebelum dia meninggalkan kumpulan itu pada 2001 untuk menjaga ayahnya yang nazak.

Dua sahabat sejak kecil itu berkongsi nama keluarga yang sama, namun mereka tidak mempunyai sebarang pertalian darah.

Disebabkan gagal mendapat sebarang pekerjaan, mereka memulakan usaha itu pada 2002, dengan sasaran menanam kira-kira 800 pokok setahun.

“Tebing sungai ini hanya mempunyai pasir dan batu-batu kecil. Ia ditinggalkan untuk sekian lama. Bagi orang biasa, adalah mustahil untuk mereka tanam pokok di sini.

“Tetapi bagi kami, tiada perkara yang mustahil, kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya,” kata Wenqi ketika ditemui di tebing sungai itu.

Menurut Wenqi, tumpuan usaha sama mereka pada mulanya adalah untuk tujuan komersial, bukannya untuk pemuliharaan alam sekitar.

“Tatkala pokok mula tumbuh dan menerusi kempen-kempen di televisyen, saya sedar yang penanaman pokok boleh meningkatkan kualiti udara dan alam sekitar.

“Kami tanam pokok, tetapi pada masa sama turut mengembangkan minda kami,” jelasnya.

Setiap pagi, Haixia akan menarik lengan baju kosong Wenqi yang memimpinnya ke tebing sungai dan mengendongnya merentasi Sungai Ye yang cetek ke tapak penanaman pokok mereka.
Haixia kemudiannya memanjat pokok untuk memotong ranting-ranting yang akan dijadikan anak pokok untuk ditanam.

Wenqi pula akan menggali lubang menggunakan penyodok yang dikepit antara pipi dan bahunya, manakala kakinya digunakan untuk menolak penyodok ke dalam pasir.

Kakinya juga akan digunakan untuk mengambil air dari sungai dengan baldi, bagi tujuan penyiraman pokok yang baru ditanam mereka.

“Cuba tanya orang biasa untuk bekerja dengan kedua-dua tangan mereka berada dalam saku, seperti Wenqi. Kami OKU mempunyai kecekalan yang tidak dimiliki orang biasa,” kata Haixia.

Namun, satu kemarau telah memusnahkan tanaman pertama mereka.

Kedua-dua lelaki itu tidak pernah meraih sebarang pendapatan daripada pokok yang ditanam, sebaliknya pihak berkuasa tempatan memberi bantuan OKU kepada mereka.

Kampung Yeli adalah sebahagian daripada pusat perindustrian di Bandar Shijiazhuang yang merupakan bandar ketiga tercemar di China.

Tujuh daripada 10 bandar paling tercemar dalam senarai Kementerian Alam Sekitar yang dikeluarkan awal tahun ini, terletak di Wilayah Hebei.

Jawatankuasa kampung memberi mereka tanah seluas hampir tujuh hektar untuk menanam pokok, sementara biro perhutanan tempatan pula menyumbangkan anak benih.

“Usaha kami mungkin tidak memberi sebarang manfaat penting kepada generasi sedia ada, namun ia akan meninggalkan persekitaran hijau kepada generasi akan datang.

“Kami kurang upaya dari segi fizikal, namun dari segi mental adalah sihat. Kami menyimpan impian besar untuk meninggalkan persekitaran hijau kepada anak-anak kami,” kata Haixia.

- therakyatpost