BUAT pertama kali dalam sejarah, lagu bergenre hip hop berjudul Apa Khabar hasil ciptaan Joe Flizzow dan SonaOne diangkat sebagai juara lagu di pentas malam anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29), malam tadi.
Bagi menjelaskan kemenangan tersebut, ketua juri yang juga komposer terkenal, Azmeer memberitahu lagu Apa Khabar menang kerana pelbagai faktor termasuk kekuatan lirik.
"Lagu Apa Khabar menang kerana pelbagai faktor. Dalam seni muzik ada beberapa kategori iaitu melodi, lirik, susunan muzik termasuk ritma juga persembahan secara keseluruhan dan vokal.
"Ritma notasi dalam rap Joe Flizzow itu agak berbeza. Kekuatan lirik dalam lagu ini juga memainkan peranan yang boleh membuat lagu ini menang. Bagi saya, rap Joe bukan rap biasa," katanya.
Malah katanya, Joe Flizzow berjaya mewarnakan lagu itu hingga dinobatkan sebagai pemenang.
"Motif di dalam nyanyian SonaOne itu seni walaupun ia berulangan, lagu itu mempunyai motif yang berulangan dan warna lagu itu dijayakan oleh Joe.
"Saingan memang hebat, markah tak jauh. Semua elemen ini membuatkan Apa Khabar diiktiraf," katanya.
Sementara Joe ketika mengulas kemenangannya itu, dia memberitahu lagu tersebut merupakan caranya berkongsi isi hatinya kepada peminat.
"Lagu ini 'personal' buat saya. Lima, enam tahu lepas saya lari dari konflik. Saya tak pandai kawal situasi. Tapi lepas semua itu orang masih sokong.
"Jadi ini cara saya untuk luahkan isi hati saya dan kongsi dengan peminat. Pejam celik pejam celik sudah 15 tahun saya rap. Saya rasa Malaysia sudah faham apa itu rap," katanya.
Sebagai juara, Apa Khabar membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi.
- Sumber

