Kuala Lumpur: “Hanya dalam 20 minit, saya dapat membawa 345 kilogram (kg) barangan untuk membantu mangsa banjir di Kelantan selepas mendaftar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
“Lebih 30 penumpang Malindo Air memberi kuota 15 kg barangan mereka untuk saya, selain Malindo Air membenarkan kuota 65 kg. Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pula, pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang membantu memunggah barangan yang dibawa,” kata usahawan dari Sabah, Norman Ahmad Radzuan yang turut membantu mangsa banjir di Kelantan bermula hari ini.
Menurutnya, keprihatinan dan kerjasama rakyat Malaysia terserlah dengan bantuan diterima secara tidak disangka itu.
“Pada mulanya saya panik sebab boleh bawa 65 kg saja sedangkan barang dibawa 410 kg.
Bagaimanapun, rakyat Malaysia memang prihatin kerana selepas melihat pelekat ‘misi bantuan ke Kelantan’, mereka membantu.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu. Warga IPD Sepang turun padang, manakala warga Balai Polis Tg Aru, Sabah, menyumbang pelbagai barangan berguna kepada mangsa banjir.
“Warga IPD Sepang sebenarnya sudah menghantar bantuan mangsa banjir sebanyak empat tan ke Kelantan sebaik banjir reda di Kelantan beberapa minggu lalu,” katanya.
Norman berkata, dia tidak berseorangan menyediakan sumbangan berkenaan kerana beberapa rakannya terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa turut membantu.
Katanya, antara barangan dibawa adalah barang keperluan harian, makanan, sejadah dan permaidani.
