Alahai Dunia, Gara-gara kagum dengan kepimpinan presiden Amerika Syarikat "Obama", seorang bapa menamakan anak sulungnya sempena nama pemimpin tersebut. Namun demikian tindakannya itu mendapat banyak kritikan dari orang ramai terutamanya dari laman sosial facebook.
Bagaimanapun bapa bayi tersebut Azman Kamarudin, 34, berkata, dia tidak kisah dengan kritikan yang diberikan orang ramai. Menurutnya, setiap individu mempunyai pelbagai persepsi tentang nama berkenaan dan mempunyai hak untuk memberikan pendapat masing-masing.
“Saya tidak pernah terkilan dengan hal itu. Tidak salah nama itu diberikan kepada anak saya, malah jika dinamakan Muhammad seperti yang dicadangkan ramai orang, ada juga segelintir individu yang namanya Muhammad juga melakukan perkara yang tidak baik,” katanya.
Azman berkata, apa sahaja nama yang diberikan, pokok pangkalnya anak itu pandai membawa diri. Menurutnya, perkara yang paling penting adalah didikan daripada ibu bapa dan taat perintah ALLAH adalah kunci kepada kejayaan seseorang.
Selain itu, Azman menegaskan tidak akan menukar nama anaknya kepada nama lain kerana menganggap nama itu unik selain rasa kekagumannya terhadap kepimpinan Obama.
“Saya berharap satu hari nanti Obama Malaysia dapat berjumpa dengan Obama Amerika,” katanya.
Bagaimanapun, sebahagian pengguna media sosial mengkritik tindakan Azman memberikan nama "Obama" itu kepada anaknya.
| Sumber Sinar Harian |