Harapannya tidak pernah pudar. Mahu mengasah bakat dalam bidang lakonan menjadikan Mimi Ernida tegar mengharungi apa juga cabaran agar lako...

3:04 PM by Unknown
Harapannya tidak pernah pudar. Mahu mengasah bakat dalam bidang lakonan menjadikan Mimi Ernida tegar mengharungi apa juga cabaran agar lakonannya diterima ramai. Bermula dengan penyertaan pertandingan Gadis Melayu musim ketiga, gadis berusia 25 tahun ini tidak mahu menoleh ke belakang.

Mimi Ernida atau nama sebenarnya Nor Shamimi Ernida Mansor mahu melangkah jauh biar pun menyedari untuk bergelar anak seni bukanlah sesuatu yang mudah.

Pendedahan yang ditimba sepanjang menyertai pertandingan anjuran TV9 itu sedikit sebanyak menjadi panduan kepada Mimi Ernida agar tidak mudah menyerah kepada nasib sebaliknya kerja keras dan tidak berputus asa adalah resipi terbaik untuk dia kekal dalam bidang lakonan.

"Saya sendiri mencipta nama dalam program realiti televisyen dan saya fikir peluang saya sudah terbuka luas.

"Tetapi sebaliknya banyak perkara yang perlu saya lalui," katanya ketika ditemui di set lokasi pengambaran drama Puteri Gunung Ledang yang diterbitkan oleh A. Aida Production.

Pernah hampir dibendung perasaan putus asa, ketika itu Mimi Ernida tertanya-tanya mengapa nasib tidak menyebelahinya sedangkan minat dalam bidang lakonan bukannya sedikit.



Tetapi dia tidak mahu menyerah kalah sebaliknya berazam mahu memperbaiki segala kelemahannya sehingga akhirnya muncul dalam drama Rindu Awak 200%

"Sejak muncul dalam drama Rindu Awak 200% di TV3 ramai mengenali saya dan peluang tawaran berlakon semakin banyak," katanya sambil berjanji akan melakukan yang terbaik dan menjiwai setiap watak yang ditawarkan kepadanya.

Mimi Ernida juga menyifatkan perkembangan dalam kariernya sebagai seorang pelakon sangat penting kerana bidang yang diminati itu sememangnya menjadi kerjayanya.

Sebab itu apabila ditanya soal cinta, gadis manis tersenyum sambil menambah bahawa tumpuannya sekarang adalah untuk memperbaiki mutu lakonan dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang yang diceburi itu.

- malaysiagazette.com