Susulan daripada pengharaman tayangan filem sensual Fifty Shades of Grey, ada segelintir pihak yang tertanya-tanya dengan tindakan tegas ter...

7:13 PM by Unknown
Susulan daripada pengharaman tayangan filem sensual Fifty Shades of Grey, ada segelintir pihak yang tertanya-tanya dengan tindakan tegas tersebut yang diputuskan panel Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Walaupun ramai yang tahu filem tersebut berkisarkan tentang cinta dan intimasi ‘ganas’ pasangan hero dan heroinnya, namun ada yang bersuara ia tidak sepatutnya diharam, cukup sekadar diklasifikasikan buat golongan dewasa sahaja.


Namun demikian, Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Datuk Abdul Halim Abdul Hamid mempunyai jawapan rasional terhadap keputusan yang dikeluarkan badan tersebut.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Astro Awani, beliau berkata, adegan seks sadis menjadi punca utama pengharaman filem berkenaan di Malaysia kerana ia disifatkan sebagai keterlaluan dan lari dari norma kebiasaan.

Sekadar informasi, seks sadis (sadist) bermaksud individu yang memuaskan nafsu seksual melalui medium ganas termasuk menyakiti diri sendiri mahupun pasangannya.

Adegan-adegan tersebut yang dipaparkan dalam Fifty Shades of Grey menyebabkan ia terus termasuk dalam kategori filem lucah dan tidak sesuai buat tontonan umum.

Tiada alasan untuk kita membenarkan filem sebegini ditayangkan di negara kita, dan kita di LPF mengikut akta yang termaktub di dalam undang-undang,” katanya kepada Astro Awani.

Selain itu, beliau yang disogok dengan soalan kemungkinan filem berkenaan akan masuk melalui ‘jalan tikus’ berkata, “Kita hanya menjalankan tugas mengikut Akta Penapisan Filem dan agensi berkenaan harus memantau seandainya filem itu masuk ke negara ini dengan cara berlainan.”

Sebelum ini, pengedar filem berkenaan, United International Pictures (UIP) mengeluarkan kenyataan bahawa filem berkenaan bakal ditayangkan di Malaysia pada 12 Februari depan.

Menampilkan lakonan Jamie Dornan dan Dakota Johnson, ia merupakan adaptasi dari novel ‘best-seller’ karya E. L. James yang mengisahkan kehidupan seorang gadis Anastasia Steele yang berubah setelah bertemu jejaka jutawan, Christian Grey. – MYNEWSHUB.CC

Oleh: IZZAT MOHD ANUAR