Lima individu termasuk dua wanita berstatus nenek akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya 48 jam dalam lokap polis di Lahad Datu setela...

7:11 PM by Unknown

Lima individu termasuk dua wanita berstatus nenek akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya 48 jam dalam lokap polis di Lahad Datu setelah ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan aktivis Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).

Mereka dikenal pasti sebagai Rosina Avellinus, Maria Regina, Mohd Rizwan, Wilson J Moduyin dan Milin Biok, yang berusia antara 22 hingga 59 tahun.

Presiden Parti Maju Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee, yang bertindak sebagai peguam mereka berkata, kelima-lima individu terbabit sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Tungku, Lahad Datu sebelum ditahan sepasukan anggota polis yang mengekori mereka dalam beberapa buah kereta.

“Rupa-rupanya kereta-kereta polis telah mengekori mereka sejak mereka tiba di Lahad Datu beberapa hari yang lalu.

“Saya diberitahu bahawa mereka pergi ke Lahad Datu untuk bertemu beberapa orang, tetapi saya tidak pasti untuk tujuan apa,” kata Yong ketika dihubungi The Post Rakyat hari ini.

Beliau bagaimanapun mempertikaikan penangkapan lima individu berkenaan.

“Mereka tidak kelihatan mengedar risalah atau mengumpul tandatangan pada petisyen tetapi hanya mengisi minyak kereta di stesen minyak itu,” kata Yong.

Menurut bekas ketua menteri Sabah itu lagi, lima aktivis berkenaan sebelum ketibaannya telah dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Polis telah meminta empat hari tetapi mahkamah hanya memberikan dua hari berakhir 10 Februari, katanya.

“Kami telah diberitahu oleh polis bahawa Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Jalaluddin Abdul Rahman) mahu lima individu itu direman untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan dan Akta Percetakan,” kata Yong kepada pemberita di Lahad Datu, Ahad.

Polis turut merampas beberapa helai kemeja-T yang dicetak slogan ‘Hormati Perjanjian Malaysia’ serta sejumlah risalah.

Dalam pada itu, beberapa individu dilihat berkumpul di luar Balai Polis Lahad Datu dengan memegang sepanduk menuntut polis melepaskan lima aktivis SSKM yang ditahan itu.

Difahamkan perkara sama turut dilakukan di Kota Marudu bagi menunjukkan solidariti terhadap mereka yang ditahan.

Ini adalah kali kedua aktivis SSKM ditahan polis dengan yang pertama adalah pada Ahad lalu di mana sembilan orang ditangkap ketika sedang mendapatkan tandatangan untuk petisyen menyokong pemisahan Sabah dari Malaysia di pasar tamu Tuaran.

Mereka yang berumur antara 24 hingga 50 tahun bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sebanyak RM2,000 setiap seorang pada petang hari yang sama.

Setakat ini polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penahanan terbaru ini.

| therakyatpost.com |