Sudah agak lama penyanyi bersuara soprano ini tidak tampil dengan lagu dan album baharu. Namun itu tidak bermakna, kariernya dalam bidang nyanyian sudah berakhir.
Menurut Ning Baizura, dia sememangnya ada memasang hasrat untuk tampil dengan single dan album baharu, terutama buat peminat setianya yang sudah lama bertanyakan hal itu.
Namun ianya bukan satu perkara yang mudah, terutama apabila melibatkan kerjasama dari pihak radio untuk memutarkan lagu-lagunya.
“Kadang-kadang, ada album baharu pun tak guna juga sebab lagu tak diputarkan di radio.
“Sudah lebih lima tahun, saya hadapi masalah ini. Tambahan pula, semua stesen radio agak memilih lagu untuk dimainkan.
“Pastinya, setiap stesen radio itu ada agenda mereka tersendiri,” luahnya.
Justeru, kata bintang filem Mimpi Moon ini, dia kini lebih terarah kepada perkhidmatan radio indie, Raku oleh Astro yang menawarkan 'podcast'.
“Sebagai artis, kita boleh mengeluarkan koleksi lagu sendiri dan mereka akan memutarkannya.
“Dalam mengatasi perkara ini, kita harus kreatif dalam mempromosi dan giat berusaha,” katanya.
Dalam pada itu, bagi tahun 2015, trio 3 Suara ini berjanji untuk lebih berfokus kepada aktiviti kebajikan sebagai salah satu tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.
“Saya baharu saja menjayakan konsert amal yang bertujuan untuk mengutip derma kilat bagi mangsa-mangsa banjir.
“Malah, pada bulan ini saya akan terlibat dengan pelbagai persembahan melibatkan kerja-kerja amal,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ning bakal terlibat dengan persembahan Minggu Setiausaha di samping Noryn Aziz dan Ziana Zain pada April depan.
| SinarHarian |