Menerusi lakonan aktres Amyra Rosli dalam drama bersiri ‘Kristal Maya’, gadis manis ini berjaya membawa pulang trofi bagi kategori Pelakon ...

6:08 PM by Unknown
Menerusi lakonan aktres Amyra Rosli dalam drama bersiri ‘Kristal Maya’, gadis manis ini berjaya membawa pulang trofi bagi kategori Pelakon Wanita Pilihan di majlis Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015 yang telah berlangsung Sabtu lalu. Menewaskan calon favorite seperti Ayda Jebat dan Fasha Sandha dalam anugerah berdasarkan undian peminat ini, Amyra nyata terkejut dengan kemenangannya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas kemenangan ini. Secara jujurnya, saya tak sangka saya dapat membawa pulang trofi ini. Saya serahkan semuanya kepada peminat untuk menilai saya menerusi drama tersebut dan mengundi saya. Saya datang ke majlis Anugerah DFKL 2015 ini pun sebagai sokongan kerana telah tercalon. Tak jangka pula saya naik ke atas pentas dan membawa pulang trofi,” ujarnya memulakan perbualan.

“Saya memang tak sangka saya menang kerana drama ini sudah lama ditayangkan berbanding drama-drama lain yang turut tercalon. Apa pun, saya sangat berterima kasih kepada kelab peminat saya, Amyra Rosli Suppoter dan semua penyokong yang mengundi saya.”

Ketika ditanya adakah gosip cinta yang melanda dirinya dengan Amar Baharin menjadi punca dia mengecap populariti, dan akhirnya membantu dirinya untuk membawa pulang trofi tersebut, gadis manis ini merasakan gosip tersebut bukanlah sebab utama dia berjaya meraih kemenangan.

“Saya tak rasa gosip bercinta dengan Amar menjadi punca utama saya semakin popular. Saya merasakan yang apa yang saya perolehi adalah rezeki saya pada malam ini. Ini semua adalah ketentuan rezeki. Tetapi tidak dinafikan, gosip bersama Amar menjadi antara salah satu sebab membuatkan orang memperkatakan mengenai saya,” ujarnya mengakhiri bicara.

Wartawan: Kamaruddin Razal
Jurugambar: Farhan Mad Noh
Sumber : tonton.com.my