SEPANG – Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkata dirinya kini lebih tenang selepas pendengaran kes dopingnya yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama sudah selesai di Amsterdam pada Sabtu lepas.
Chong Wei yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) awal pagi hari ini, berkata beliau akan meneruskan latihan sementara menunggu keputusan kes doping itu yang dijangka diumumkan tiga minggu akan datang.
“Sudah habis pendengaran, saya kini tenang sikit sebab sudah tunggu enam bulan, dan mahu tunggu tiga minggu saja lagi,” katanya ketika ditemui di KLIA, hari ini.
Katanya, buat masa ini beliau akan menumpukan kepada latihan yang merancang untuk memulakan latihan bermula esok.
Beliau yang diiringi Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh dan anggota Majlis BAM Jadadish Chandra kelihatan agak ceria dan tenang berbanding dengan keadaan sebelum beliau berlepas ke London pada 8 April lepas.
Pemain badminton negara itu berjenaka dengan pemberita ketika ditanya tentang harapannya berhubung pendengaran itu dan menjawab sambil tersenyum: “Apa yang kamu harap? Sudah tentulah harapan yang bagus-bagus sahaja.”
Dalam pada itu Chong Wei berkata beliau berpuas hati dengan cara peguam sukan terkemuka Mike Morgan mengendalikan kesnya dengan amat baik dalam pendengaran selama lapan jam dalam sebuah bilik di Saturn Hotel Sheraton di Lapangan Terbang Amsterdam.
Proses pendengaran itu bermula 9.25 pagi Sabtu (3.25 petang waktu Malaysia) di hadapan panel tiga anggota iaitu dua dari Eropah dan seorang lagi India.
“Saya punya pendengaran sudah selesai… Apa-apa pun kita cuma tunggu tiga minggu sajalah. Kita tidak boleh komen keputusan macam mana, ini kena tengok panel. Saya rasa gembira dengan prestasi peguam. Dia laksanakan pendengaran dengan baik dan terang,” katanya.
Chong Wei, 33, digantung oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, pada Ogos 2014.
Pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 itu digantung oleh BWF pada 11 Nov, 2014 sementara menunggu kesnya didengar di Amsterdam pada 11 April.
Berkuat kuasa 1 Jan tahun ini, BWF meminda peraturan dopingnya dan mereka yang disahkan mengambil bahan terlarang boleh digantung sehingga empat tahun. - BERNAMA

