SINGAPURA: Drama 'Bingit' terbitan MediaCorp Eaglevision, yang mengetengahkan isu tentang penyakit mental, membolot tujuh anugerah ...

11:50 AM by Unknown
SINGAPURA: Drama 'Bingit' terbitan MediaCorp Eaglevision, yang mengetengahkan isu tentang penyakit mental, membolot tujuh anugerah di acara Pesta Perdana pada hari Sabtu (11 April).

Acara yang mengiktiraf bakat terbaik dalam industri televisyen Melayu itu juga menyaksikan kemenangan kali pertama bagi sebilangan artis tempatan.

Bingit' merangkul anugerah bagi Drama Bersiri Terbaik, Arahan Terbaik, Skrip Terbaik, Suntingan Terbaik, Desain Pembukaan Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.

Pelakonnya, Mastura Ahmad turut meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Pembantu bagi Drama Khas.

Drama Danny turut menang besar apabila kedua-dua pelakon utamanya Elfaeza Ul Haq dan Sharnaaz Ahmad menggondol anugerah Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik dalam Watak Utama bagi Drama Bersiri.

Dalam ucapannya semasa menerima anugerah, Elfaeza berkata: "Jangan putus asa dan selalu impikan yang indah-indah. Sebab mimpi itu percuma. Kita tak payah bayar pun. Jadi berangan lebih-lebih, sebab beranganlah saya ada di sini. "

Bagi drama khas pula, Zaidi Ibrahim membolot kedua-dua anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama dan Pembantu.

Zaidi berkata: "Watak itu berbeza-beza. Kalau kita lakonkan watak itu secara stereotaip, mungkin tak nampak perbezaannya. Itulah mungkin yang dilihat oleh para juri yang memilih saya."

Anugerah Perdana Emas yang mengiktiraf sumbangan penggiat seni dalam dunia seni tempatan pula diberikan kepada pelakon Ponisah Bachik atau lebih dikenali sebagai Pon Bachik.

Cik Ponisah berkata: "Besar hati dan bangga mereka yang membuat ini untuk saya. Jadi rasanya seperti badan sakit, rasa tak sakit walaupun dah tua begini. Mereka mengingati kita."

Naib Presiden Kanan Penyiaran Melayu Zakiah Halim menyifatkan keputusan malam semalam mencerminkan peningkatan dalam mutu program-program terbitan tempatan.

Naib Presiden Kanan Penyiaran Melayu MediaCorp, Zakiah Halim, berkata: "Drama-drama tahun lepas yang mungkin tidak tercalon dalam Pesta Perdana ini tapi bakal dicalonkan dalam Pesta Perdana akan datang, akan memberikan persaingan yang jauh lebih hebat.

"Jadi Insya-Allah ini satu petanda yang cukup baik, bahawa industri televisyen kita sudah meningkat ke tahap yang lebih baik dari yang lepas-lepas."

Oleh: Nity Farhana Dolhamid | mediacorp