Setelah mencipta nama dalam bidang lakonan, Mia Sara kini mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian pula. Malah, pelakon cilik ini sudahp...

8:42 PM by Unknown
Setelah mencipta nama dalam bidang lakonan, Mia Sara kini mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian pula.

Malah, pelakon cilik ini sudahpun memasuki studio rakaman dan bakat nyanyiannya bakal diperdengarkan kepada orang ramai tidak lama lagi.

“Mia dah rakamkan suara pada bulan lepas,” kata bintang berbakat besar yang baru berusia 10 tahun ini kepada Mangga Online.

Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan ini ditemu bual selepas majlis pengumuman The Home of BoBoiBoy dalam taman tema, Movie Animation Park Studios (MAPS) yang akan dibuka di Ipoh, Perak, tahun hadapan.

Mia bersama rakannya, pelakon cilik, Rykarl Iskandar diundang di majlis yang berlangsung di Cathay Platinum Suites Lounge, e-Curve, Mutiara Damansara, Selangor itu.

Ini merupakan pengalaman pertama Mia, merakamkan suara di studio rakaman.

Sebelum ini, suara Mia pernah dirakamkan oleh aktor Fizo Omar. Ketika itu, Mia menyanyikan lagu popular Tegar, Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang dan rakaman video itu telah dimuat naik oleh Fizo di laman sosial Facebooknya.

Meskipun agak gementar sewaktu hendak merakamkan suara dalam studio buat pertama kalinya, namun Mia akui yang perasaan itu beransur-ansur hilang apabila mendapat tunjuk ajar daripada ‘guru’ yang berpengalaman.

Mia Sara insert 2‘Guru’ yang dimaksudkan ialah Cat Farish, penyanyi hip hop dan komposer yang kini juga merupakan seorang pelakon.

“Sebenarnya lagu yang Mia rakamkan adalah single bersama Cat Farish dan Tiga Swagger.

“Jadi uncle Cat Farish banyak beri tunjuk ajar kepada Mia. Akhirnya, Mia enjoy sangat sewaktu merakamkan suara buat pertama kali,” ujar Mia lagi.

Single yang berjudul Kicik Kicik itu bukan sahaja dinyanyikan bersama Cat Farish, malah turut menggandingkan mereka berdua dengan kumpulan Tiga Swagger.

Menurut Mia, single itu akan memasuki pasaran tidak lama lagi.

Puteri Balqis Jadi Saingan?

Sementara itu, Mangga Online turut bertanyakan Mia mengenai kehadiran seorang lagi pelakon kanak-kanak iaitu Puteri Balqis yang dikatakan boleh menggugat kehadirannya.

“Tiada persaingan di antara Mia dan Akish. Malah, kami berkawan dan pernah berlakon dalam dua buah drama yang sama,” ujar Mia yang cukup petah berbicara ini.

Mengenai perkembangan terbaru Mia lagi, penuntut darjah empat di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Kota Damansara ini menceritakan serba sedikit mengenai jadual kerjaya seninya.

“Mia sekarang terlibat dengan shooting drama bersiri Strawberi Karipap untuk musim kedua bersama Nellydia Senrose, Zizan Nin dan Uqasha Senrose.

“Sebelum itu, Mia juga berlakon supertelemovie Cinta Paling Agung bersama Aaron Aziz dan Siti Saleha di Jakarta dan supertelemovie Jelmaan bersama Keith Foo dan Raja Ilya di Yogyakarta,” katanya.

Pada pertengahan Mei nanti, Mia dijangka menjalani penggambaran episod akhir Strawberi Karipap di Gold Coast, Queensland, Australia.

- Mangga Online (Foto: Shahril Azman Zain)