Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang terletak di Jalan Jervois, Singapura sibuk hampir setiap pagi dikunjungi rakyat Malaysia yang mela...

5:17 PM by Unknown
Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang terletak di Jalan Jervois, Singapura sibuk hampir setiap pagi dikunjungi rakyat Malaysia yang melakukan urusan memperbaharui pasport, mendapatkan taraf penduduk tetap dan membatalkan kerakyatan.

Kira-kira 30 hingga 50 permohonan melepaskan taraf kewarganegaraan Malaysia diterima setiap hari di Singapura, yang diletakkan ke dalam kotak khas yang disediakan di pondok pengawal pejabat itu, kata seorang pengawal bertugas kepada The Malaysian Insider.

Permohonan melepaskan kewarganegaraan hanya boleh dibuat dari jam 8.15 pagi hingga 11 pagi pada hari Isnin hingga Jumaat, namun pada kebiasaannya, mereka yang datang untuk menyerahkan dokumen selepas jam 9.30 pagi akan diminta kembali semula keesokan harinya.

Mereka diberitahu, kuota untuk permohonan pada hari tersebut sudah pun penuh ketika itu.

Ia menunjukkan betapa ramainya rakyat negara ini yang mahu menukar taraf kerakyatan mereka, walaupun tiada statistik rasmi dikeluarkan mengenai jumlah rakyat Malaysia yang mahu berbuat demikian di republik itu.

Terdapat lebih 1 juta rakyat Malaysia dikatakan tinggal di luar negara sebagai pegawai ekspatriat, sebagai penduduk tetap dan sebagai rakyat negara lain.

Namun, jumlah rasmi rakyat Malaysia yang menukar kewarganegaraan mereka sukar diperoleh.

Di Singapura, jumlah rakyat Malaysia yang menjadi warganegara itu meningkat antara tahun 2004 dan 2008.

Jumlah ini menurun pada 2009 namun ia bertambah semula pada 2012. Pada tahun itu, sejumlah 20,693 kewarganegaraan diberikan kepada penduduk baru republik itu.

Penurunan pada 2009 itu dicerminkan melalui pengambilan tahunan penduduk tetap yang meningkat lebih dua kali ganda daripada 36,900 pada 2004 kepada 79,167 pada 2008, tetapi turun kepada 59,460 pada 2009.

"Penurunan mendadak dicatatkan dalam bilangan kedua-dua warganegara dan penduduk tetap pada 2010, sebelum pilihan raya umum Singapura pada Mei 2011," menurut data yang dikeluarkan Institut Dasar Migrasi di Washington.

Statistik jumlah penduduk republik itu pada Disember 2011 dicatatkan seramai 3.81 juta orang, di mana 3.27 juta bertaraf warganegara manakala 0.54 juta lagi penduduk tetap.

Negara itu juga mempunyai jumlah penduduk bukan pemastautin seramai 1.46 juta orang yang bekerja, belajar atau menetap di Singapura secara sementara.

Kehidupan baharu

Bagi 2 rakyat Malaysia yang kini menjadi warganegara Singapura, pemilihan untuk menukar kerakyatan daripada negara kelahiran mereka bertujuan mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Dua rakan karib Daphne Lim dan Saranee Joseph (bukan nama sebenar bagi melindungi kepentingan anak mereka) menjadi warganegara Singapura baru-baru ini.

Lim, seorang ibu tunggal berusia 40-an, berkata idea untuk menukar kerakyatan Malaysia baginya bukan sesuatu yang asing. Sedari kecil beliau diberitahu, sebagai orang Cina, beliau tidak dialu-alukan di negara ini.

Mengambil jalan yang sering diikuti Cina Malaysia, Lim melanjutkan pelajaran di Australia, kembali ke Malaysia dengan segulung ijazah, berkahwin dan mengikut suaminya tinggal di Singapura.

Mereka memohon status penduduk tetap, tetapi selepas beberapa ketika, dia membuat keputusan menjadi warganegara apabila melihat manfaat yang diberikan kepada rakyat Singapura.

Beliau berkata, anak-anaknya mendapat manfaat daripada keputusan yang dibuat dan mengakui kehidupan beliau di Singapura tidak pernah membosankan.

Keadaan bandarnya cukup menyamankan dan beliau gembira dapat keluar daripada kepompong politik negatif di Malaysia.

"Ia tidak pernah menjadi isu bagi saya. Saya tahu satu hari nanti, saya tidak lagi akan menjadi rakyat Malaysia, "katanya.

Lim mengakui beliau menempuhi zaman kanak-kanak yang cukup indah di Malaysia, tetapi kepuasan yang beliau peroleh kini sebagai orang dewasa melenyapkan kenangan itu.

Peluang dan manfaat yang beliau dan anak-anaknya nikmati adalah "cukup baik. Anda tidak akan dapat merasainya di Malaysia!".

Sementara itu, Joseph, menjadi warganegara republik itu selepas beliau dikurniakan cahaya mata. Beliau bekerja di Singapura sebagai perunding, dan apabila menjadi seorang ibu, beliau perlu memikirkan masa depan anaknya.

Jika sebelum ini beliau menyimpan hasrat untuk bersara di Malaysia, namun kehadiran anaknya memaksa beliau menilai semula kehidupannya.

Memiliki kewarganegaraan Malaysia sambil tinggal di Singapura akan hanya mendatangkan kekeliruan kepada anaknya, kata Joseph.

Memandangkan anaknya itu dilahirkan dan dibesarkan di republik itu, lebih mudah jika beliau juga menjadi warga Singapura.

Pengalaman beberapa rakan sekelas juga menjadi antara penyebab, katanya sambil menyatakan ada antara mereka mengalami pengalaman pahit kerana gagal menyerlahkan kebolehan mereka di Malaysia.

"Kepahitan yang mereka alami bukanlah apa yang saya mahukan untuk diri sendiri," katanya, sambil menambah beliau berasa bertuah kerana mempunyai kerja di Singapura dan menetap di sana.

Kenangan yang masih diingati Lim dan Joseph tentang kehidupan mereka di Malaysia ialah ketiadaan ketegangan kaum dan agama. Ketika itu mereka boleh lepas bebas tetapi kini keadaan itu seolah-olah tidak lagi wujud.

Lim berkata, suasana di Singapura selamat hingga beliau tiada masalah membenarkan anak-anaknya menaiki MRT sendirian pada waktu malam.

Joseph berkata "Singapura kadang-kadang mengenakan sekatan dari segi politik... tetapi kebaikan tinggal di sini melebihi keburukannya."

Begitu juga dengan cara bagaimana bandar raya dan infrastrukturnya dirancang. Singapura sebuah oasis hijau, kata mereka, tidak seperti Malaysia yang menghadapi pembangunan tidak sekata dan penebangan hutan.

Selamat tinggal

Berbalik semula kepada keadaan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, rata-rata bakal rakyat Singapura yang datang menyerahkan dokumen berkenaan mengalami perasaan yang bercampur baur.

Dokumen yang diperlukan adalah borang K dan MY-RN1 yang dikepilkan bersama dokumen lain seperti kad pengenalan, sijil kelahiran, surat kelulusan daripada Pusat Pemeriksaan dan Imigresen Singapura (ICA) serta pasport Malaysia.

Proses 2 borang berkenaan cukup mudah – pemohon hanya perlu menyatakan semua butir peribadi, tetapi tidak perlu menyatakan alasan membatalkan kerakyatan.

Syarat membatalkan kerakyatan Malaysia ialah pemohon mesti berumur 21 tahun dan ke atas.

Mereka boleh jadi bertaraf penduduk tetap terlebih dahulu atau terus menyatakan hasrat menjadi warga Singapura sejak awal lagi.

Sebaik sahaja dokumen itu dimasukkan ke dalam kotak khas yang disediakan, maka individu berkenaan tidak lagi menjadi warganegara Malaysia. – 30 Jun, 2015.

- Source themalaysianinsider