Kemungkinan Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO pada 10 Disember ini 'makin jelas'. "Jika...

9:13 AM by Unknown
Kemungkinan Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO pada 10 Disember ini 'makin jelas'.


"Jika saya dijemput,saya akan pergi.Ia juga parti saya,bukan parti Najib seorang,"kata bekas Perdana Menteri itu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur Ahad.

"UMNO adalah untuk semua orang Melayu.Saya juga Melayu,"katanya.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi yang berharap beliau akan menghadiri majlis itu kerana ahli parti masih menghormati beliau sebagai bekas presiden.

"Saya amat yakin surat jemputan akan keluar tidak lama lagi tetapi sama ada beliau menerimanya atau tidak, terpulang kepada beliau untuk memutuskannya,"kata Zahid.

Dr Mahathir tidak hadir pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.

Sementara itu di Kepala Batas ,Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kesediaan Dr Mahathir untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2015 pada awal bulan depan akan membawa pengertian besar kepada perhimpunan itu.

Katanya perbezaan pendapat yang wujud antara Dr Mahathir dengan pemimpin sekarang tidak harus menjejaskan kesatuan dalam parti.

"Kesatuan (UMNO) yang dibina terpasak kuat bertahun-tahun dan jangan kita hancurkan ia hanya disebabkan perselisihan pandangan," katanya.

Reezal Merican, yang juga Timbalan Menteri Luar, berkata adalah janggal sekiranya Dr Mahathir atau Tun Abdullah Ahmad Badawi, dua bekas presiden parti itu, tidak dijemput ke perhimpunan yang dijadual dari 8 hingga 12 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

"Kita ada adap, akhlak dan budaya kita sendiri serta sudah menjadi tradisi dalam UMNO juga kita menghormati pemimpin yang lalu," katanya selepas menyampaikan bantuan peralatan perniagaan bernilai RM200,000 kepada 41 penerima di bawah Program 1Azam Parlimen Kepala Batas. - 29/11/2015.

- Dari AgendaDaily