Kuala Lumpur: Sikap ‘cekik darah’ pemandu teksi yang enggan menggunakan meter akhirnya membawa padah apabila seramai 449 pemandu ditahan dalam operasi Ops Tegas dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak 21 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, daripada jumlah itu sebanyak 82 teksi disita kerana kesalahan berkenaan.
Katanya, SPAD menerima lebih 24,000 aduan mengenai masalah pengangkutan awam sejak tahun lalu dan daripada jumlah itu 10,000 adalah berkaitan teksi.
“Aduan pemandu tidak menggunakan meter adalah aduan terbanyak diterima iaitu lebih 40 peratus. Kadar ini menunjukkan permasalahan yang serius berlaku dalam kalangan pemandu teksi sekitar ibu kota.
“Malah operasi dijalankan hari ini saja, lebih 20 teksi ditahan,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.
Dalam operasi ‘Ops Tegas’ bermula jam 3 petang semalam, seramai 40 pegawai dan anggota SPAD memburu segelintir pemandu teksi yang berdegil di sekitar ibu kota.
Operasi dilakukan serentak di lokasi ‘panas’ termasuk Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya,, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Bukit Bintang, dan Bandar Sunway.
Dalam perkembangan lain, menurut Mohd Nur Ismal, kaedah menyita teksi juga akan terus diguna bagi memberi amaran keras terhadap pemandu yang masih enggan menggunakan meter.
“Amaran demi amaran dan pelbagai tindakan sudah dibuat, tetapi masih ramai yang degil. SPAD tak akan beri muka lagi selepas ini dan akan terus menyita serta merta teksi pemandu yang degil tidak mahu menggunakan meter,” katanya.
Pada masa sama, SPAD juga akan meneruskan operasi sambutan tahun baru cina yang sudah bermula sejak 11 Februari lalu.
“Sasaran utama kali ini adalah terhadap pemandu bas. Kami berharap semua pengusaha bas akan menggunakan sistem kedudukan global (GPS) bagi memantau kelajuan setiap pemandu mereka,” katanya.
| HarianMetro |