KUALA TERENGGANU- Lelaki Islam khususnya mat rempit yang dikesan tidak menunaikan solat Jumaat serta mencemarkan suasana dengan gelagat bu...

11:42 AM by Unknown

KUALA TERENGGANU- Lelaki Islam khususnya mat rempit yang dikesan tidak menunaikan solat Jumaat serta mencemarkan suasana dengan gelagat buruk di jalan raya pada waktu tersebut akan berdepan dengan hukuman yang mungkin menginsafkan mereka.


Hal ini demikian kerana pihak berkuasa agama negeri akan menguatkuasakan hukuman mengarak mereka dalam kenderaan jenazah di sekitar pusat bandar raya ini jika masih berdegil dan terus mengulanginya setelah diberi kaunseling.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengesahkan perkara itu memberitahu, proses penelitian hukuman bagi kesalahan tersebut sudah selesai dan akan mula dikuatkuasakan tidak lama lagi.

“Mereka yang terbabit termasuk mat rempit yang didapati tidak menunaikan solat Jumaat akan ditangkap oleh penguat kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan diberi kaunseling serta bimbingan agama terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar sempena program walkabout di Wisma Persekutuan kelmarin.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada kebijaksanaan Maidam dalam menangani gejala sedemikian termasuk menambah jumlah anggota penguat kuasa wanita selain memperkemas kekuatan sedia ada bagi membolehkan penguatkuasaan berjalan dengan baik dan tidak menimbulkan masalah.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh kepada Maidam bagi memastikan umat Islam di negeri ini menjaga kelakuan, moral, etika berpakaian dan sebagainya demi kesucian agama Islam sekali gus melahirkan generasi Islam terbaik.

Ahmad Razif juga mengakui bahawa beliau telah meminta Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Mohd. Rozali Salleh agar meneliti kewajaran mewujudkan sebuah pusat pemulihan atau pondok moden bagi memberi perkhidmatan kaunseling dan pendedahan ilmu agama kepada pesalah terbabit.

Pada awal Januari lalu, kerajaan negeri mengarahkan kesemua pasar raya di negeri ini menutup premis pada waktu solat Jumaat selama dua jam mulai 12.30 tengah hari.

Di samping itu, kerajaan negeri mula menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Bahagian IV -Kesalahan Yang Berhubung Dengan Kesusilaan di bawah Seksyen 35 - Mendedahkan Tubuh Di Tempat Awam.

Di bawah seksyen itu, mana-mana perempuan yang mendedahkan bahagian tubuh yang menimbulkan ghairah jika sabit kesalahannya boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain mereka yang berpakaian menjolok mata, tindakan juga akan diambil terhadap perlakuan pasangan bukan muhrim yang berpelukan semasa menunggang atau berada di atas motosikal yang menimbulkan kecurigaan dan remaja lelaki berpakaian wanita.

By: RADHUAN HUSSAIN | UTUSAN ONLINE