Sejarah tercipta pada malam akhir program realiti Mentor Legend minggu lalu apabila juaranya, Azmil Karim, 22, menerima markah penuh da...

2:29 PM by Unknown

Sejarah tercipta pada malam akhir program realiti Mentor Legend minggu lalu apabila juaranya, Azmil Karim, 22, menerima markah penuh daripada juri profesional dan juri awam.

Lebih membanggakan, markah penuh itu bukan saja diberikan juri tetap, Azmeer dan Adlin Aman Ramli tetapi juga juri undangan, penyanyi popular Indonesia yang mempunyai suara unik, Cakra Khan, 24.

Markah juga diberi tanpa perbincangan ketiga-tiga juri ini hingga membolehkan protege Dayang Nurfaizah itu menerima jumlah sempurna 50 dan selebihnya daripada juri awam (20 peratus) yang juga markah penuh, manakala 17 peratus lagi undian penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dua lagi finalis ialah Nurul Aina Abdul Ghani (Aina), protege Ella di tempat kedua dan Maishara Fazny Mahadzir (Sarah), anak didik Amy Search pemenang ketiga.

Cakra yang ditemui selepas keputusan diumumkan menjelaskan, ketiga-tiga peserta rancangan realiti yang disiarkan secara langsung oleh TV3 itu memiliki kelebihan dari sudut vokal mahupun persembahan dilakukan.

"Melihat persembahan Azmil, dia mempunyai kelebihan yang tidak boleh diperjelaskan. Saya lihat dia sebagai bakat baru yang mempunyai isi dan jujur apabila menyanyi," katanya.

Apa pun, kata Cakra, Azmil adalah bakat muda yang masih mentah dan sebagai orang baru, pada sudut teknikal banyak harus dipelajari dan latihan harus dilakukan secara berterusan.

"Jika perkara ini dapat dilakukan, saya percaya Azmil akan menjadi penyanyi yang sangat baik kerana dia memiliki jiwa yang dalam dan boleh membuatkan orang merasai apa yang ingin disampaikan.

"Dari sudut vokal, Azmil memiliki suara unik. Penyanyi seperti dia jarang ada yang bagus. Mereka mempunyai kelebihan tetapi tidak boleh menyanyi dengan baik," katanya.
Katanya, dia memberi markah penuh kepada Azmil kerana persembahan dilakukan dalam ketiga-tiga segmen diolah dan disampaikan dengan baik.

Mengenai dakwaan bahawa mereka berdua mempunyai persamaan dari sudut vokal, penyanyi itu yang kini hangat dengan lagu duetnya bersama Datuk Siti Nurhaliza hanya tersenyum.
"Saya diberitahu, peningkatan vokal Azmil dapat dilihat sepanjang pertandingan ini berlangsung. Daripada kosong dan tidak tahu apa-apa, sekarang kemampuan suaranya membawa dia menjadi juara Mentor Legend.

"Perjalanan saya juga berasal dari kampung dan waktu itu tidak tahu cara menyanyi yang betul. Saya masih ingat pesan ibu, yang penting ada minat dan kerajinan. Apabila dua perkara ini ada dalam diri kita, proses pembelajaran akan menjadi mudah," katanya.
Cakra mengakui sepanjang mencari dan mengenal kemampuan vokalnya, dia cuba mendendangkan pelbagai genre lagu termasuk pop, rock, dangdut dan reggae.

"Satu perkara yang saya percaya dan pernah juga berlaku kepada sendiri, apabila bakat baru itu bagus menyanyi dan mempunyai ilmu tinggi dari sudut teknikal, dia sangat susah dibentuk dan dilentur.

"Berbeza dengan Azmil, dia masih mentah dan kalau dibentuk dengan baik, dia mampu mencipta kejayaan besar dengan vokal uniknya satu hari nanti," katanya.

Sementara itu, Azmil akui terharu mendengarkan kata-kata Cakra mengenai dirinya. Bakat baru dari Tawau, Sabah itu tidak menyangka begitu sekali pandangan juri terhadap bakatnya.

"Apa yang membuatkan saya lebih terharu kerana Cakra kali pertama menyaksikan persembahan saya secara langsung di pertandingan akhir Mentor Legend.

"Kata-katanya akan saya jadikan azimat untuk memperbaiki lagi kemampuan diri, sekali gus mengejar cita-cita menjadi penghibur diminati ramai satu hari nanti," katanya.

Azmil juga terharu apabila ada pihak mengatakan vokalnya yang garau ada persamaan dengan Cakra tetapi menegaskan, sebagai orang baru, perjalanannya masih jauh.

"Hendak kata hebat dan bagus seperti Cakra, rasanya masih jauh lagi. Banyak lagi perkara harus saya pelajari tetapi saya memang menyimpan impian mahu menjadi sebaik dia.
"Terima kasih saya ucapkan kepada juri, termasuk Cakra, kerana mempercayai bakat yang saya ada," katanya.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Azmil dan mentornya menerima hadiah kereta Proton Iriz serta berkongsi wang tunai RM300,000 serta trofi.

Pada malam itu, Azmil, Aina dan Sarah mempersembahkan tiga lagu secara solo serta duet dengan artis jemputan dan mentor masing-masing.

Azmil duet dengan Dayang menerusi Aku Jatuh Cinta dan Menceceh Bujang Lapok, persembahan solo (Menanti Sebuah Jawapan) dan duet bersama Mimi One Nation Emcees menerusi Naluri Lelaki.

Aina berduet dengan Ella menerusi Layar Impian kemudian secara solo, medley Menghitung Hari dan Mencintaimu dan berduet dengan Mila Jirin dalam lagu Fallin. Aina dan Ella menang RM200,000.

Sarah pula berganding dengan Amy dalam medley Isabella dan Pawana kemudian menyampaikan medley Dangerously In Love dan Tanpa Kekasihku secara solo dan diakhiri Ikut Rentakku dan Mercy duet bersama Atilia. Sarah dan Amy menang RM100,000.

| HarianMetro |