Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias mungkin akan menyatakan hasrat untuk berhenti daripada berceramah pada Khamis ini. Utusan Onli...

6:09 PM by Unknown
Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias mungkin akan menyatakan hasrat untuk berhenti daripada berceramah pada Khamis ini.

Utusan Online melaporkan hasratnya itu timbul dipercayai ekoran beberapa isu membabitkan diri­nya sejak kebelakangan ini.

Katanya, isu-isu yang dihadapinya sejak menjadi pendakwah menyebabkan beliau hilang semangat untuk terus berceramah.
Difahamkan, beliau sudah mula menolak beberapa jemputan untuk menjadi tetamu beberapa program televisyen susulan langkah awal ke arah itu.

Namun, beliau dikatakan akan berhenti berceramah setelah pembinaan bangunan tambahan di Pusat Pengajian Al-Bakarah di Manjoi, di Ipoh yang diasaskannya siap sepenuhnya.

Ini kerana beliau mahu mencari dana untuk membiayai pembinaan bangunan tersebut yang menelan kos kira-kira RM500,000.

“Apa-apapun tunggu (pengumuman), Khamis ini,” katanya ketika ditemui selepas program Ceramah Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kem Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta dekat sini semalam, Tegas Ustaz Kazim, jika beliau berhenti daripada berceramah, Pusat Pendidikan Al Barakah mungkin hanya mampu bertahan dalam tempoh dua tahun sahaja.

Menurutnya, pusat tersebut yang menempat pelajar, orang tua-tua serta anak yatim memerlukan kos besar yang selama ini ditampung hasil daripada sagu hati beliau berceramah, penjualan buku dan sumbangan orang ramai.

“Bil elektrik untuk satu blok asrama sahaja RM10,000 sebulan. Jika saya berhenti berceramah, bagaimana saya nak tampung kos keseluruhan pusat ini yang memerlukan sekurang-kurangnya RM150,000 sebulan.

“Pusat pendidikan ini tiada tajaan daripada sesiapa. Jika ditutup bermakna hilanglah sekolah pondok yang berjaya menaikkan nama negeri Perak,” katanya.

Sebelum itu, Mohd. Kazim diselubungi isu penyebaran surat daripada Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju dengan pemilihan pendakwah terkenal itu untuk menjadi panel satu forum dengan alasan beliau membacakan riwayat-riwayat palsu.

Minggu lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur Mohd. Kazim kerana menggunakan pendekatan jenaka dalam ceramah yang disifatkan oleh beliau sebagai ‘penglipur lara’.

Mohd. Kazim dijadualkan menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Padang Astaka, Batu Kurau pada Khamis ini yang akan disiarkan secara langsung di TV1 RTM.

Turut diundang sebagai panel ialah Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin dan program tersebut akan dipengerusikan oleh Prof. Dr. Redhuan Tee Abdullah.

- TheRakyatPost