BUKAN tidak memikirkan tentang pasangan hidup tetapi pengalaman yang pernah dilalui Izreen Azminda sudah cukup membuatkannya berfikir dua k...

9:29 AM by Unknown
BUKAN tidak memikirkan tentang pasangan hidup tetapi pengalaman yang pernah dilalui Izreen Azminda sudah cukup membuatkannya berfikir dua kali. Tidak mahu perkahwinan yang dibina berakhir di tengah jalan, dia semakin berhati-hati tentang perkara berkenaan.

Cukup menjaga perbuatan dan tingkah laku sebagai wanita berstatus janda, Izreen mengakui, adakalanya dia tidak dapat lari daripada gosip liar yang mengaitkan dirinya dengan beberapa orang lelaki sejak setahun yang lalu.

Terbaru, nama pelakon Fahrin Ahmad dikaitkan dengan dirinya setelah gambar mesra mereka tersebar baru-baru ini.

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mereka sedang menyulam cinta, Izreen menegaskan, gambar tersebut diambil ketika mereka sama-sama terlibat dalam penggambaran drama bersiri Eksperimen Cinta yang kini dalam pembikinan.

“Gambar itu tidak bermakna saya bercinta pun dengan Fahrin. Tapi apabila menjadi viral, pastinya orang mula membuat andaian yang kami sedang menjalin hubungan dan pelbagai tanggapan lain.

“Saya tak ada masalah pun kalau orang nak bercakap tentang kami. Yang penting kami sama-sama terlibat dalam penggambaran dan itu perkara biasa yang akan terjadi seperti sebelum ini,” jelas Izreen.

Pun begitu Izreen tidak menafikan yang dia enggan melayan gosip yang mengaitkan dirinya dengan mana-mana lelaki memandangkan fokusnya kini hanya kepada kerjaya.

Bukan berniat untuk menutup pintu hatinya akibat kegagalan rumah tangga terdahulu tetapi perkara tersebut benar-benar membuatkan dirinya berhati-hati agar tidak tersilap langkah lagi.

Sepanjang tempoh ‘kembali’ solo, dia tidak menafikan sering kali didatangi oleh ramai lelaki yang mahu berkenalan dengan lebih rapat.

“Memang dugaan yang datang tak kurang hebat apabila saya berstatus begini. Ada yang tua dan tergolong dalam kalangan kenamaan, tak kurang juga lelaki bujang yang cuba menghampiri.

“Tapi kebanyakan yang mencuba nasib adalah lelaki muda yang berusia bawah 25 tahun. Masa awal-awal dulu, saya terkejut juga tapi apabila ramai yang seusia begitu cuba mendekati membuatkan saya ketawa sahaja.

“Tak dinafikan ada yang matang tetapi saya tak kata akan menerima lelaki muda sebagai pasangan hidup baharu. Pokok pangkalnya kena stabil dalam segala aspek,” tegas Izreen berterus terang.

Baginya, dia tidak pernah mengharapkan bakal suami nanti sempurna, cukuplah mempunyai pengetahuan agama agar dapat membimbingnya selain stabil dari segi kewangan.

Pastinya kegagalan masa lalu banyak mengajarnya erti kehidupan sebenar berumah tangga dan dia tidak mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan dahulu.

“Saya tak pernah meletakkan sasaran bila untuk berkahwin semula. Kalau ada yang sesuai dan jodoh itu sampai, berkahwinlah saya. Jika masih belum ada yang sesuai pun tak ada masalah.

“Setidak-tidaknya saya selalu sibuk di lokasi penggambaran dan tak ada masa nak fikir tentang perkara berkenaan,” ungkap pelakon yang terkenal dengan drama Kerana Terpaksa Aku Relakan ini.

Teguran
Sedekad bergelar pelakon membuatkan wanita ini sudah ‘masak’ dengan selok belok industri hiburan tempatan. Meskipun angka tersebut masih dikira baru namun Izreen boleh dikatakan berpengalaman luas.

Tambahan pula dengan kebanjiran muka-muka baharu sebagai pelapis, Izreen bersyukur kerana dia masih diberikan kepercayaan membawakan watak utama setiap kali terlibat dengan produk baharu.

“Saya tak nafikan ramai heroin baharu menjadi penanda aras yang industri kita tidak ketandusan bakat. Kalau tak ada pelapis pun akan jadi masalah besar kepada kita.

“Tapi adakala saya rasa kurang senang dengan sikap segelintir pelakon baharu yang langsung tidak menitik beratkan mutu lakonan dan disiplin.

“Ada yang terlalu sibuk berada di dua lokasi penggambaran yang berbeza sehingga menyusahkan orang lain. Bagi saya, perkara seperti itu tak elok dilakukan agar tidak menyusahkan orang lain,” tambahnya lagi.

Meskipun begitu, Izreen tidak menafikan keadaan semasa yang membuatkan segelintir pelakon baharu menjadi begitu. Terlalu mengejar populariti dan publisiti hingga menjejaskan pihak lain.

Sejak bergelar pelakon 10 tahun yang lalu, dia cukup menitik beratkan soal disiplin memandangkan itu merupakan asas terpenting dalam setiap pekerjaan.

“Ada pelakon yang merasakan diri mereka cukup popular dan boleh melakukan apa sahaja. Bagi saya, populariti akan datang dengan sendiri tanpa perlu dicari jika kita bersungguh-sungguh dalam pekerjaan.

“Sebab itu saya selalu ingatkan diri agar menjaga disiplin dan tak menyusahkan orang lain,” katanya yang juga pengacara rancangan Mahligai Cinta ini lagi.

- Utusan Online Oleh: SYED MUSSADDAD SYED MAHDI