Siapa yang menduga suara latar dalam lagu '#AwakKatMane' itulah yang menjadi ratu penambat hati pemenang Singapore Idol pertama, T...

12:58 AM by Unknown
Siapa yang menduga suara latar dalam lagu '#AwakKatMane' itulah yang menjadi ratu penambat hati pemenang Singapore Idol pertama, Taufik Batisah?
Suara wanita dalam lagu '#AwakKatMane' sebenarnya suara Sheena Akbal - yang sejak beberapa tahun lalu, terus memacak kehadirannya dalam lubuk hati Taufik, jauh dari pengetahuan orang ramai dan para peminatnya.
Bahkan, semasa melamar kepada Sheena, Taufik menyanyikan sebuah lagu Inggeris untuk Sheena di dalam keretanya - lagu yang turut didendangkan di majlis persandingan pasangan mempelai itu petang tadi.
Semua ini, didedahkan secara satu persatu oleh Taufik dengan luhur semasa ditemui pihak media di majlis persandingannya yang diadakan di Muslim Delights di Bendemeer.
Dengan hanya sekali lafaz, Muhammad Taufik Batisah selamat diijabkabulkan dengan Sheena atau nama sebenarnya Nursheehana Akbal Ahmad, pada 10.45 pagi tadi, dalam satu majlis tertutup.
Tarikh pernikahan Taufik, 33 tahun, dengan Sheena, 31 tahun, juga cukup simbolik pada 4.4.2015.
Gadis berdarah Pakistan itu menerima mas kahwin bernilai $500 berserta tiga dulang hantaran, berbalas tiga dulang.
Detik bersejarah kedua mempelai diraikan penuh meriah oleh sekitar 2,500 hadirin, yang terdiri daripada sanak saudara serta teman-teman terdekat, dalam majlis persandingan tersebut.
Suasana menjadi bertambah gamat tatkala kedengaran paluan gendang Bhangra, sebagai tanda ketibaan raja dan ratu sehari. Kedua-dua pengantin kemudian melangkah segak dan anggun dengan busana punjabi. 
Di majlis tersebut, Taufik juga mendendangkan lagu 'Hanya Untukmu' untuk gadis pujaannya itu.
- - BERITAMediaCorp/nd