Penyanyi Nombor Satu negara, Datuk Siti Nurhaliza diberi penghormatan untuk melancarkan Peace Yall FM, radio online berkonsepkan radio inte...

1:32 PM by Unknown
Penyanyi Nombor Satu negara, Datuk Siti Nurhaliza diberi penghormatan untuk melancarkan Peace Yall FM, radio online berkonsepkan radio interaktif yang pertama di Malaysia.

Momen bersejarah ini berlangsung dalam satu majlis yang cukup meriah di Zebra Square, Kuala Lumpur, malam tadi (Rabu).

Peace Yall FM yang dimiliki sepenuhnya oleh bintang tersohor, Datuk AC Mizal, sudah mula bersiaran semenjak 4 Mei lalu.

Semasa ditemui selepas majlis perasmian tersebut, AC Mizal memberitahu mengapa Siti Nurhaliza dipilih untuk melancarkan stesen radio yang berkonsep terkini itu.

“Peace Yall FM adalah sebuah stesen radio yang dimiliki oleh golongan artis, maka kami mahu seorang artis juga yang melancarkan majlis perasmian radio ini.

“Datuk Siti Nurhaliza mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam industri hiburan tanah air, maka kami memilih Penyanyi Nombor Satu negara ini untuk bersama-sama kami semasa detik bersejarah ini,” kata AC Mizal kepada Mangga Online.

Sempena majlis pelancaran Peace Yall FM, satu ‘showcase’ telah diadakan yang mana Siti Nurhaliza turut mendendangkan dua buah lagu iaitu Warna Dunia dan Lebih Indah.

Juara Anugerah Juara Lagu Ke-29, Joe Flizzow dan SonaOne turut merancakkan lagi ‘showcase’ tersebut dengan persembahan hip hop mereka menerusi dua buah lagu iaitu Apa Khabar dan Havoc.

Selain itu, selaras dengan perkataan Trendy pada ‘tagline’ Peace Yall FM iaitu Terbaik dan Trendy, maka satu pertunjukan fesyen turut diadakan semalam.

Ia menampilkan rekaan EmeldaRose yang merupakan label fesyen rekaan serta milik pelakon Emelda Rosemila yang juga merupakan veejay Peace Yall FM.

Boleh Diikuti Di Seluruh Dunia

Sementara itu, AC Mizal turut memberitahu bahawa Peace Yall FM bersiaran sepanjang 24 jam sehari.

Ia beroperasi sepenuhnya melalui sistem interaktif secara aplikasi dengan hanya satu klik untuk memuat turun aplikasi di Apps Store (untuk pengguna Apple iOs) atau Google Play Store (untuk pengguna Android).

Selain itu, Peace Yall FM juga boleh dilayari melalui sesawang www.Peaceyallfm.com menerusi komputer atau pelayar mudah alih.

“Peace Yall FM merupakan perintis yang membawa radio interaktif bervisual dwibahasa pertama di Asia Timur Selatan.

“Pendekatan media alaf baru ini bertujuan menyuntik generasi Y untuk menikmati inovasi teknologi masa kini.

“Dengan menggunakan smart TV, tablet dan telefon bimbit, orang ramai boleh mengikuti siaran Peace Yall FM di mana sahaja di seluruh dunia,” jelas AC Mizal.

Selain AC Mizal yang menggalas tanggungjawab sebagai Presiden, Peace Yall FM turut dipimpin oleh Datin Emylia Rosnaida selaku Timbalan Presiden dan pelakon serta pemuzik, Rashidi Ishak yang bertindak selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Antara segmen yang disiarkan oleh Peace Yall FM ialah Cap DJempol bersama veejay Adlin Aman Ramlie dan Joey (jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang).

Diikuti segmen Rillex Chillex Zone bersama veejay Haili, Rendy dan Iema (jam 2.00 hingga 4.00 petang). Segmen Kopijam bersama veejay Elfe Martin, Emelda dan Sobri (jam 4.00 hingga 6.00 petang).

Veejay Fad, Acong, Kiki dan Baby Wirda pula menyusul menerusi segmen Cekodok (jam 6.00 petang hingga 8.00 malam).

Segmen di sebelah malam pula menyiarkan aksi veejay Aizat, Bocil Bancin dan Vicha Barbie (jam 8.00 hingga 10.00 malam).

Disusuli pula segmen Malam Di Pagar Bintang bersama veejay Aqinna, Syuk dan Jeed (jam 10.00 malam hingga 12.00 pagi).

(Foto: Ihsan Sam Kassim / Peace Yall FM)

- ManggaOnline  Ditulis oleh Norimy Aimi pada May 7, 2015.