SUNGAI PETANI - Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah lulus ujian sebagai Menteri Besar (MB) Kedah yang baharu apabila berjaya menyampaikan ucapan sulung dengan baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Ahmad Bashah boleh menjadi MB yang dapat memberi keyakinan kepada rakyat Kedah.
Beliau berkata, ucapan itu berjaya membawa suara rakyat yang perlu terus diberi perhatian oleh kerajaan.
Untuk itu, Najib meluluskan peruntukan RM15 juta untuk pembinaan kompleks perniagaan penjaja di Sungai Petani untuk menempatkan penjaja dan peniaga kecil yang berselerak bawah satu bumbung di daerah Kuala Muda kelak
"Saya kena jawab permintaan dari ucapan sulung MB baharu. Kalau tak jawab sudah tentu dia tidak dapat tidur lena malam ini," katanya ketika merasmikan Kompleks UTC Sungai Petani di Ukir Square di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri.Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Menurutnya, adalah wajar untuknya menyambut atau menjawab permintaan Ahmad Bashah kerana ia ucapan pertamanya dalam majlis rasmi.
"Oleh itu, saya luluskan peruntukan RM15 juta seperti yang diminta.
"Ini bermakna penduduk Sungai Petani mendapat RM30 sahaja pada hari ini. UTC ini pun bernilai RM15 juta,," katanya.
Najib berkata, lebih banyak peruntukan boleh disalurkan dari Kerajaan Pusat kepada Kedah jika mempunyai hubungan baik dan erat.
"Lantaran itu, hubungan baik kedua-dua kerajaan itu perlu diwujudkan agar dapat saling bantu membantu dalam pelbagai aspek demi kebaikan rakyat," katanya.
Beliau memberi jaminan kerajaan pusat akan terus memberi kerjasama kepada Kedah yang memerlukan lebih banyak pembangunan tetapi kekurangan hasil.
"Dengan bantuan pusat, kerajaan negeri dapat melipatgandakan usaha pembangunan dan kebajikan rakyat.
"Kita akan memulakan projek atau pembangunan tertentu sedikit demi sedikit mengikut kemampuan bagi membantu Kedah," katanya.