Sebuah klip video selama 1 minit 55 saat yang menyindir PAS dan sistem perundangan hudud, mendapat kecaman hebat di laman sosial, kerana di...

10:31 AM by Unknown
Sebuah klip video selama 1 minit 55 saat yang menyindir PAS dan sistem perundangan hudud, mendapat kecaman hebat di laman sosial, kerana disifatkan sebagai pembawa pemikiran liberal.
Rakaman video yang diterbitkan BFM Kupas itu, memaparkan seorang gadis bernama Aisyah Tajuddin yang berperanan sebagai pengacara mempersoalkan kepentingan pelaksanaan hudud dengan gaya menyindir dan mimik (ekspresi) muka menjengkelkan.
Dalam video itu, Aisyah menggayakan watak gadis yang kononnya terkejut, kerana mendapati dirinya tiba-tiba berhijab.
“Eh, sejak aku bila bertudung ni? Eh, lupa ini Kelantan, ada hudud.
“Akhirnya, mimpi PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan datang menjelma, tetapi untuk orang bukan Kelantan macam saya, musykil tentang pelaksanaannya.
“Banyak perkara yang perlu ditukar dan boleh pulak Menteri Besar Kelantan kata orang yang tidak menyokong hudud ini sebagai orang yang tidak beriman?” soalnya dalam nada sinis.
Aisyah turut mempersoalkan janji-janji PAS kepada rakyat Kelantan, seperti nasib mangsa banjir pada akhir tahun lalu.
Beliau turut menyifatkan pelaksanaan itu sebagai satu teknik untuk menutup kelemahan dalam pentadbiran dengan agama, bagi mendapatkan sokongan dan mengaburi mata rakyat.
“Lepas ini, tidak perlulah tidak makan, kerana hududkan ada,” katanya seolah-olah membaca skrip daripada ‘teleprompter’ dalam klip video yang kelihatan bukan dihasilkan dan disunting oleh amatur.
Video yang tersebar di laman Facebook itu mendapat kecaman ramai yang menyifatkannya sebagai liberal dan tidak berpelajaran.
Komen-komen terhadap video itu dipenuhi kecaman, kerana disifatkan mempersendakan agama Islam.
Kecaman itu tidak terhenti di situ sahaja, kerana akaun Instagram milik Aisyah turut diselongkar untuk mencari maklumat mengenai dirinya.
Semakan The Rakyat Post mendapati, BFM Kupas turut mempunyai laman sesawang www.bfm.my/video dan mempunyai saluran radio dikenali sebagai BFM yang ke udara melalui frekuensi 89.9 FM.
Sebelum ini, BFM Kupas pernah menghasilkan beberapa video yang membincangkan isu semasa.
Bagaimanapun, video yang mempersendakan isu hudud ini paling mendapat perhatian.