KHAIROL Shapawi Abdul Karim (kanan) bersama Pengarah Jualannya, Nazar Samsudin (tengah) dan Muhammad Sazali Zainuddin menunjukkan produk K...

6:30 AM by Unknown
KHAIROL Shapawi Abdul Karim (kanan) bersama Pengarah Jualannya, Nazar Samsudin (tengah) dan Muhammad Sazali Zainuddin menunjukkan produk Kyrol. 
Siapa sangka Malaysia juga mempunyai anak tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang sekuriti dan keselamatan yang berjaya mencipta Antivirus Buatan Malaysia yang pertama dan bakal dilancarkan pada bulan hadapan.

Syarikat pencipta antivirus dan sekuriti Internet pertama buatan Malaysia, Kyrol Security Labs Sdn. Bhd. bakal melancarkan aplikasi antivirus bagi telefon pintar iOS dan Android pada bulan depan.

Pengarah Kyrol Security Labs, Khairol Shapawi Abdul Karim berkata, aplikasi itu bakal dilengkapi dengan ciri menarik dan lebih menumpukan kepada ancaman-ancaman tempatan (local threat).

Menurutnya, kebanyakan antivirus yang berada di pasaran datang dari negara luar yang tidak memberikan tumpuan kepada perlindungan data peribadi pengguna tempatan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab melindungi data-data penting daripada jatuh ke tangan pihak luar, justeru, Kyrol mengambil inisiatif untuk mencipta satu antivirus yang boleh melindungi data dari ancaman-ancaman tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, antivirus itu juga itu juga didatangkan dengan fungsi ‘Panic Button’ yang merupakan fungsi keselamatan bagi pengguna.

Katanya, fungsi berkenaan membolehkan pengguna membuat panggilan apabila berhadapan dengan situasi berbahaya dengan menggunakan satu butang sahaja.

“Panic Button berkenaan jika diaktifkan akan terus menghubungi nombor telefon yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, antivirus berkenaan bakal ditawarkan secara percuma kepada pengguna iOS dan Android.

“Bagi fungsi tambahan pengguna mungkin akan dikenakan bayaran sebanyak AS$9.90 (RM35.55),” ujarnya.

Selain itu kata Khairol, Kyros Security Labs kini sedang giat mempromosikan produk anti virus pertama keluarannya di seluruh negara.

Ujarnya, pihaknya turut memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengedar Kyrol Security Labs terutamanya di wilayah utara, pantai timur, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Mereka yang berminat boleh menghubungi kami melalui laman Facebook, Kyrol Security Labs atau emel kami sales@kyrolsecuritylabs.com untuk maklumat lanjut,” ujar beliau.

| UtusanOnline | NABILA YASMIN RAZIB  |  21 Februari 2015 1:12 AM