![]() |
JUSTINA OMPANG (terbaring) bersama suaminya, Khunyan Basimah disoal anggota Jabatan Hidupan Liar negeri selepas diserang seekor gajah liar di Kampung Gambaron, Telupid, Sabah. |
TELUPID: Seorang wanita berusia 57 tahun nyaris maut apabila seekor gajah pigmi setinggi 2.3 meter bertindak menyerangnya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kampung Gambaron dekat sini pagi kelmarin.
Ketika kejadian pada pukul 6.20 pagi itu, Justina Ompang ditemani suaminya, Khunyan Basimah, 40, baharu sahaja keluar dari rumah apabila terserempak dengan gajah jantan tersebut di tepi jalan.
Menurut suami mangsa, kehadiran gajah di kawasan berkenaan adalah perkara biasa bagi mereka dan gajah itu akan lari ke dalam hutan apabila dihampiri penduduk.
Tetapi malangnya, semalam gajah berkenaan tidak melarikan diri malah bertindak menyerang pasangan terbabit dan ‘menghambat’ Justina dengan belalainya.
Jeritan suami mangsa yang bertujuan mengalih perhatian berjaya menyelamatkan Justina apabila gajah itu lari meredah hutan berhampiran.
Penolong Pengarah Hidupan Liar negeri, Dr. Sen Nathan berkata, pasangan berkenaan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Telupid di sini untuk rawatan kecemasan.
“Suami mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala Justina berada dalam keadaan trauma serta lebam-lebam di bahagian pinggang. Ujian X-ray dijalankan untuk memastikan tiada keretakan tulang atau kecederaan dalaman.
“Pasangan suami isteri itu telah dibenarkan pulang dari hospital semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, ‘konflik’ gajah dan manusia sememangnya serius di Telupid untuk tempoh dua bulan ini.
Katanya, terdapat lebih 30 ekor gajah dalam empat kumpulan berbeza yang telah menyebabkan kerosakan teruk kepada tanaman dan kenderaan milik penduduk setempat.
“Kampung yang mengalami ‘konflik’ itu ialah Kampung Bauto, Kampung Lubang Batu, Kampung Maliau dan Kampung Gambaron. Pihak kita termasuk Unit Penyelamat Hidupan Liar telah melakukan operasi pengawalan gajah bagi mengelak perkara tidak diingini.
“Dengan kes terbaharu ini, usaha pengawalan gajah akan dilakukan termasuk usaha memindahkan gajah-gajah terbabit,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar negeri, William Baya memberitahu, konflik gajah dan manusia telah meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini khususnya di kawasan Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Lahad Datu, Tawau, Nabawan dan Pensiangan.