Gambar hiasan MELAKA -  Gara-gara memuat naik status mengkritik langkah penguatkuasaan oleh pihak berkuasa menerusi laman Facebook, s...

8:46 PM by Unknown
Gambar hiasan

MELAKA -  Gara-gara memuat naik status mengkritik langkah penguatkuasaan oleh pihak berkuasa menerusi laman Facebook, seorang peniaga diserang tiga lelaki sehingga menerima rawatan selama lima hari di Hospital Melaka.

Difahamkan, mangsa, Hasnu Baharol, 42,  dihubungi oleh seorang lelaki menyatakan mahu bertemu dengannya untuk urusan perniagaan. Namun, dia diserang oleh tiga lelaki terbabit.

“Status yang saya muat naik di Facebook itu sememangnya mengkritik tindakan sebuah agensi penguat kuasa yang saya fikir tidak wajar. Dalam komen yang dibuat itu turut menggesa ketua jabatan agensi terbabit agar memantau pegawainya yang saya fikir bertindak keterlaluan.

“Pada 15 Februari lalu, seorang lelaki menghubungi saya kononnya mahu berjumpa atas urusan perniagaan. Ketika itu saya berada di Peringgit Jaya dan mengesyorkan kepadanya supaya kami bertemu di situ.

“Sebaik berjumpa, tiga lelaki keluar dari sebuah kereta dengan seorang daripada mereka bertanyakan mengenai status terbabit dan sambil mengajukan soalan ‘Mengapa awak kurang ajar dengan bos saya.’

“Justeru, berlaku pertengkaran antara saya dengan mereka sehingga terjadinya pergelutan. Seorang daripada mereka mengeluarkan kata-kata yang berbaur ugutan termasuk ugutan bunuh,” katanya pada sidang media di Ayer Keroh, semalam.

Mangsa bagaimanapun sempat merakam gambar kereta suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah. 

“Selepas membuat laporan polis pada jam 6.30 petang, saya yang sememangnya mengalami masalah jantung sejak lebih setahun lalu berasa tidak selesa lalu merujuk ke Hospital Melaka. Doktor yang merawat menyarankan supaya saya ditahan dalam wad.

“Akibat dipukul tiga lelaki terbabit, saya mengalami sedikit kecederaan di bahagian muka tapi lebih membimbangkan adalah masalah jantung saya,” katanya.

Hasnu berkata, dia berasa dianiaya dan pihak bertanggungjawab mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya mahu menuntut keadilan terhadap apa yang berlaku dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan segera.

“Kalau benar ketika-tiga lelaki terbabit ada kaitan dengan pegawai kerajaan, saya berasakan perkara ini tidak patut berlaku apatah lagi wujudnya gejala gengsterisme dalam kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan pihak menerima laporan itu dan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan niat kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.

thehypemedia.com