JAKARTA: Fenomena "demam" batu-batu permata di Indonesia kini akan menjadi lebih hebat apabila pemerintah di sebuah wilayah di Ac...

4:18 PM by Unknown
JAKARTA: Fenomena "demam" batu-batu permata di Indonesia kini akan menjadi lebih hebat apabila pemerintah di sebuah wilayah di Aceh membina sebuah masjid batu jed yang pertama di dunia.

Sebuah portal berita tempatan, tribunnes.com memetik Pengerusi Badan Perancangan Pembangunan Nagan Raya di Aceh, Teuku Raja Keumangan sebagai berkata, kerja-kerja pembinaan tapak masjid yang berharga Rp150 bilion (RM45 juta) itu telah dimulakan sejak awal tahun.

Masjid seluas hampir 4,000 meter persegi itu akan dinamakan Masjid Agung Baitul A'la dan seluruh bangunan masjid hingga kubahnya dilapisi dengan batu jed yang diambil dari hutan di kawasan Beutong di Nagan Raya.

Baru-baru ini, pencari batu permata telah menemui bongkah batu jed seberat kira-kira 20 tan metrik di Gampong Krueng Isep di Beutong dan kerajaan wilayah Aceh tidak membenarkan sesiapapun mengambil bongkahan batu permata itu.

Teuku Raja Keumangan berkata, kerja-kerja memunggah bongkahan batu jed dari hutan Beutong itu dijangka bermula April ini dan batu-batu itu akan dipotong sebanyak 37,000 keping dengan ukuran 60x60 sentimeter.

Katanya, masjid itu dibina sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT yang menjadikan tanah di Acheh dipenuhi dengan batu permata dan jika semuanya berjalan lancar, masjid itu dijangka siap akhir tahun ini.

Demam batu permata Indonesia itu merebak ke seluruh republik dari Aceh hingga ke Kalimantan dan di Jakarta pula ribuan orang mengunjungi sebuah pasar Rawa Bening di sini pada setiap hujung minggu untuk membeli dan menjual pelbagai jenis batu-batu permata Indonesia. - BERNAMA


Gambar Hiasan