KUALA LUMPUR: Penyanyi bergelar 'daddy cool dan stailo', Amy Search memberitahu belum mendengar sebarang berita gembira mengenai anaknya, Nabila Huda yang kononnya merancang untuk berkahwin.
"Dia (Nabila) memang tak ada cakap apa-apa lagi mengenai apa saja berkaitan hal perkahwinan apatah lagi mengenai membuat persiapan perkahwinan.
"Sebagai bapa, saya sentiasa mendoakan yang terbaik dan menunggu saja berita gembira itu," kata Amy ketika ditemui BH Plus, tengah hari semalam.
Persoalan itu diajukan kepada Amy mengenai rentetan hasrat Nabila sendiri mahu 'memperlahankan' kerjaya seninya tahun ini yang dipercayai berkait rapat dengan kesibukannya membuat persiapan perkahwinan.
Cerita bahawa Nabila yang juga ibu kepada Keisha Laila sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan, tersebar sebelum ini bahawa dia sedang mengenali seorang lelaki bernama Bert, tetapi memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai hubungan mereka.
Amy ditemui di NU Sentral kerana terbabit dalam acara amal bermain badminton, Smash & Donate yang dianjurkan syarikat perbankan Maybank bersempena Badminton Terbuka Malaysia Maybank (MM0) 2015.
Smash & Donate sudah masuk tahun kedua turut membabitkan artis seperti Amy Search, Ning Baizura, Neelofa, Fara Fauzana, Adi Putra dan Lee Hansen selain bintang badminton negara seperti Hafiz Hashim, Kwan Yoke Meng, Lee Wan Wah dan Zakry Latif.
Mengenai restunya kepada lelaki pilihan anaknya itu, Amy yang dalam rangka pembikinan album solonya cuma berkata: "Dengan siapa dia berkawan, saya tak kisah. Lagipun dia sudah matang untuk memilih kawan."
Malah sebagai bapa, Amy mengakui beliau sendiri menunggu-nunggu khabar gembira itu daripada Nabila.
"Saya gembira apabila mendapat tahu dia (Nabila) mahu memperlahankan rentak kerjaya seni tahun ini dan memberi tumpuan kepada anaknya," katanya.
Sebelum ini industri hiburan pernah dikejutkan dengan hubungan Amy dan Nabila menjadi renggang gara-gara penyanyi itu menegur anaknya di laman Instagram dengan nada kasar selepas Nabila memuat naik gambar percutian dengan kekasihnya di luar negara.
Bagaimanapun pada sambutan Hari Raya pertama tahun lalu, hubungan anak beranak ini kembali bertaut.
- Oleh Zaidi Mohamad - Berita harian Online