PETALING JAYA:  Pelakon dan pelawak Harun Salim Bachik, 55, meninggal dunia selepas rebah ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R...

7:41 PM by Unknown

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Harun Salim Bachik, 55, meninggal dunia selepas rebah ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah, Perak arah selatan kira-kira pukul 5 petang, Ahad.

Pelakon Den Wahab ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu namun tidak dapat memberi butiran lanjut tentang kejadian mengejut itu.

"Saya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pengarah, Dr Anwardi Jamil, kira-kira jam 5 petang tadi mengenai perkara itu.

"Daripada apa yang dimaklumkan kepada saya, Harun dan keluarganya dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri satu majlis perkahwinan.

"Mereka kemudiannya singgah di RNR Bukit Merah untuk mengisi minyak sebelum Harun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia," katanya kepada mStar Online.
Sekeping gambar yang memperlihatkan Harun terbaring dilantai tersebar di laman sosial.
Den turut memberitahu jenazah Allahyarham difahamkan akan dibawa ke hospital terlebih dahulu bagi mengetahui punca kematiannya.

"Saya tidak pasti sama ada Allahyarham akan dibawa ke hospital berdekatan atau dibawa ke hospital di Kuala Lumpur," ujarnya.

Sementara itu, pelakon dan rakan baik Harun, Afdlin Shauki ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu dan memberitahu beliau dalam perjalanan ke rumah Allahyarham.

Bagaimanapun Afdlin tidak dapat mengulas lanjut tentang kejadian tersebut kerana masih belum mendapat maklumat sahih berhubung kematian sahabat baiknya itu.

"Berita tentang kematian Harun benar malah saya sedang dalam perjalanan ke rumahnya.

"Bagaimanapun saya tidak dapat mengulas lanjut kerana belum mendapat cerita sebenar tentang kejadian," katanya. 

| mStar |

News from AstroAwani Portal: 

KUALA LUMPUR: Pelakon komedi terkenal yang juga bekas Presiden SENIMAN, Harun Salim Bachik meninggal dunia dipercayai mengalami sesak nafas ketika singgah di Hentian Rehat & Rawat Gunung Semanggol (Selatan), Perak petang tadi.

Ketika itu bekas Presiden Seniman ini dilaporkan dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang bersama keluarganya. Allahyarham meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Berita ini turut disahkan oleh rakan-rakan artis yang rapat dengan Allahyarham.

Pengarah Ghaz Abu Bakar yang terkejut dengan berita tersebut turut memaklumkan bahawa Allahyarham sepatutnya memulakan penggambaran filem Angin Cinta arahannya pada Isnin ini.

Sementara, rakan seperjuangan Allahyarham Afdlin Shauki turut memuatnaik di laman Facebooknya, foto terakhir beliau bersama Allahyarham pada Jumaat lepas. Afdlin dan Harun pernah popular menerusi gabungan mereka berdua dalam kumpulan Boboi ketika mengambil bahagian dalam program lawak terkenal Maharaja Lawak Mega.

Harun atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim mula dikenali melalui lakonan beliau di dalam drama bersiri Rumah Kedai yang ditayangkan di TV3 pada awal tahun 90-an.

Allahyarham turut dikenali menerusi program bersiri Oh My English yang disiarkan di Astro CERIA.

Selain berlakon beliau juga merupakan seorang penyanyi. Pernah menghasilkan satu album pada tahun 1996 yang berjudul Belilah. Lagu yang paling mendapat sambutan dalam album tersebut ialah Banjir.

Antara filem-filem lakonan beliau adalah Man Laksa, Baik Punya Cilok, dan Apa Kata Hati.

Beliau adalah anak lelaki kepada seorang pelakon zaman 50-an iaitu Allahyarham Salim Bachik.

| AstroAwani Online |