Kuala Lumpur: Pasukan penyiasat antarabangsa kini sedang menganalisis maklumat sahih dan memberi pertimbangan kepada tujuh bidang dalam s...

7:24 PM by Unknown

Kuala Lumpur: Pasukan penyiasat antarabangsa kini sedang menganalisis maklumat sahih dan memberi pertimbangan kepada tujuh bidang dalam siasatan mengenai kehilangan pesawat Penerbangan (MAS) MH370 tahun lalu bersama 239 penumpang dan kru.

Ketua Kumpulan Penyiasat MH370 yang juga bekas Ketua Pengarah DCA, Datuk Kok Soo Chon berkata, bidang tersebut termasuk kelayakan terbang dan penyelenggaran pesawat, operasi pengawal trafik udara (ATC), kargo, profil kru dan komunikasi satelit.

Selain itu, ia juga akan membuat analisis mengenai lencongan pesawat daripada pelan laluan yang dikemukakan serta maklumat organisasi dan pengurusan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan MAS, katanya.

“Matlamat utama siasatan ini adalah untuk mengelak insiden sama berulang di masa depan, bukan untuk menuding jari terhadap sesiapa atau meletakkan bebanan ke atas pihak tertentu.

"Pada bulan akan datang, pasukan penyiasat ini perlu membuat analisis untuk membuat kesimpulan dan mengemukakan syor tentang keselamatan berdasarkan maklumat sahih yang dikumpul," katanya.

Pasukan Penyiasat juga menyediakan pelan operasi standard (SOP) dalam persediaan untuk mendapat semula pesawat apabila ditemui pasukan pencarian, katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan interim siasatan yang disiarkan secara langsung di TV1, hari ini.

Menurutnya, pasukan siasatan antarabangsa yang ditubuhkan Malaysia menemubual lebih 120 orang dan melawat beberapa badan berkaitan untuk menyiasat punca nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang genap setahun lalu.

“Antara yang ditemuramah ialah beberapa anggota dan pegawai Jabatan Penerbangan Awam (DCA), MAS, waris kru, pengisi minyak, pengusaha katering pesawat, pencuci pesawat, operator kargo, ejen penghantar, pembekal dan penyedia kargo.

“Kami juga turut menjalankan sesi latihan simulator untuk merangka semula profil pesawat dan sistem operasi bagi membantu menjalankan siasatan,” katanya.

Laporan interim itu disediakan untuk memberi maklumat tentang kemajuan yang dicapai dalam penyiasatan mengenai MH370 yang dilaporkan hilang genap setahun lalu.

| HarianMetro |