La Javie (Perancis): Sebuah pesawat Airbus milik Germanwings, syarikat yang mengendalikan penerbangan tambang murah syarikat penerbangan L...

10:48 AM by Unknown
La Javie (Perancis): Sebuah pesawat Airbus milik Germanwings, syarikat yang mengendalikan penerbangan tambang murah syarikat penerbangan Lufthansa terhempas di kawasan terpencil bersalji di Pergunungan Alps Perancis, semalam.

Semua penumpang dan anak kapalnya dikhuariti terbunuh .

Presiden Perancis Francois Hollande berkata, pihaknya percaya tiada yang terselamat dalam pesawat A320 itu manakala Ketua Eksekutif Lufthansa Carsten Spohr menyifatkan semalam sebagai hari yang kelam untuk penerbangan Jerman itu.

Germanwings mengesahkan penerbangan 4U9525 dari Barcelona, Sepanyol ke Dusseldorf, Jerman, terhempas di Pergunungan Alps dengan 144 penumpang dan enam anak kapal.

Hollande berkata: “Berdasarkan keadaan nahas ini - yang masih belum dapat dipastikan sepenuhnya - kami melihat kemungkinan besar tiada yang terselamat.”

Menurut pihak berkuasa, pesawat itu membuat panggilan kecemasan pada 9.47 pagi (waktu tempatan) atau 52 minit selepas berlepas. Kejadian berlaku di kawasan pergunungan bersalji yang menyukarkan pasukan penyelamat tiba di situ.

Hollande berkata, ramai penumpang pesawat itu warga Jerman. Timbalan Perdana Menteri Sepanyol berkata, 45 penumpang mempunyai nama Sepanyol.

Kejadian itu ialah nahas pertama membabitkan pesawat penumpang besar di Perancis sejak kemalangan Concorde di luar Paris pada Julai 2000.

Pesawat A320 jet paling popular digunakan syarikat penerbangan dunia dan mempunyai rekod baik.
Sementara itu Spohr berkata: “Buat masa ini kami tidak tahu apa yang berlaku kepada penerbangan 4U9525.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat penumpang serta anak kapal terbabit. Ini memang hari yang kelam untuk Lufthansa.

“Namun kami masih memegang harapan dapat menemui mangsa terselamat.”

Kata-katanya itu disiarkan Lufthansa di laman Twitternya.

Jurucakap pihak berkuasa penerbangan Perancis, DGAC berkata, pesawat itu terhempas berhampiran pekan Barcelonnette, kira-kira 100 kilometer ke utara Nice.

Penyiasat Perancis dan Jerman semalam menuju ke lokasi nahas di Meolans-Revel, penempatan kecil di kaki Pergunungan Alps.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Jerman berkata menterinya, Alexander Dobrindt juga berlepas ke lokasi itu.

Sementara itu, Airbus berkata pihaknya maklum mengenai kejadian itu.

“Kami tahu mengenai laporan kejadian dan kini berusaha membantu menilai keadaan nahas.

“Kami akan mengumumkan maklumat mengenainya sebaik kami menerimanya,” kata syarikat itu dalam laman Twitternya.

Sementara itu, pihak berkuasa di lapangan terbang Barcelona berkata, pesawat itu berlepas pada jam 8.55 pagi (waktu tempatan). - Reuters

Pesawat yang terhempas itu sudah digunakan sejak 24 tahun lalu.

- hmetro.com.my 25/3/15