Perkahwinan antara pengacara dan penyanyi, Sarimah Ibrahim, 37, dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin ...

9:01 AM by Unknown
Perkahwinan antara pengacara dan penyanyi, Sarimah Ibrahim, 37, dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie, 43, bukanlah yang pertama buat mereka.

Masing-masing pernah melayari bahtera perkahwinan dan bergelar isteri dan suami.
Namun, status itu tidak kekal lama. Berpisah dengan pasangan masing-masing memberi mereka seribu satu pengajaran untuk kembali melayari bahtera rumah tangga.

Jodoh mempertemukan mereka berdua. Pengalaman sebelum ini menjadi titik tolak untuk mereka mengemudi bahtera perkahwinan yang baharu.

Sarimah sendiri mengakui, perkahwinan kali ini sedikit berbeza bagi dirinya. Kali ini, wanita kacukan Ireland itu mengakui dirinya lebih bersedia bergelar isteri.

“Sebelum ini saya berkahwin pada usia 25 tahun. Usia itu rasanya terlalu muda bagi saya. Ketika itu saya masih tidak faham maksud bergelar seorang isteri.

“Malah, segala cabaran dan dugaan yang dihadapi sebelum ini menjadi pelajaran buat saya untuk bergelar seorang isteri,” jelasnya.

Sarimah turut menjelaskan, sepanjang menjalin hubungan cinta dengan suami, mereka sering menunjukkan sikap sebenar. Sikap itu menjadi asas kekuatan buat hubungannya kali ini.

“Saya tidak mahu hipokrit bila berkenalan dengan Jamie. Bagaimana dia mengenali saya ketika bercinta, begitulah perangai saya sehinggalah menjadi isteri,” jelasnya.

Sarimah pernah berkahwin pada 2006 tetapi bercerai pada penghujung Disember 2008. Manakala Tunku Jamie sudah berstatus duda tanpa anak ketika mula mengenali Sarimah.

Jelas Sarimah, melalui perkahwinan kali ini juga, dia bersedia untuk menimang cahaya mata dan bergelar seorang ibu.

“Kalau boleh, memiliki anak lelaki dan perempuan sudah memadai, tetapi kami menyerahkannya sebagai rezeki buat kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tunku Tunku Jamie turut mengakui dia banyak belajar daripada perkahwinannya yang lalu.

“Perkahwinan kali ini ibarat peluang kedua buat saya untuk membina rumah tangga yang lebih baik bersama dengan Sarimah,” katanya.

Tak halang kerjaya
Menjadi seorang isteri, jelas Sarimah bukan halangan untuk dia meneruskan kerjayanya apatah lagi mendapat sokongan daripada suami sendiri.

Malah, jelas Sarimah, ramai yang menjangkakan dia akan memperlahankan kerjaya selepas berkahwin.

“Sebenarnya, sebelum berkahwin lagi saya sudah memperlahankan kerjaya saya kerana mahu lebih rapat dengan keluarga Jamie.

“Saya mahu fokus pada kehidupan peribadi sebelum ini dan sebab itu kerjaya seni saya dikurangkan,” jelasnya.

Tambah Sarimah, usai perkahwinan, sudah tiba masanya untuk kembali merancakkan kerjayanya yang terhenti sebelum ini.

“Alhamdulillah dengan perkahwinan ini, semuanya sudah selesai. Fokus saya pada kerjaya dapat ditumpukan semula.

“Itu yang saya kembali sebagai pengacara dalam program bual bicara, Bella dan akan terus mengembangkan kerjaya seni,” ujarnya.

Bagi Tunku Jamie pula, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan keputusan Sarimah malah menyokong sepenuhnya hasrat wanita itu untuk kembali aktif dalam kerjayanya.

Bulan madu di New York
Bercerita tentang perancangan bulan madu pula, jelas Sarimah, hubungan mereka bertambah mesra kerana terlalu banyak persamaan antara mereka.

Tambah Sarimah, kerana itu mereka berdua memilih New York, Amerika Syarikat sebagai lokasi buat mereka berbulan madu.

“Sebenarnya, saya sudah pergi ke sana. Jamie sendiri juga pernah berada di sana. Jadi, banyak pengalaman yang kami kongsi.

“Itu yang kami pilih New York kerana kami mahu kongsi pengalaman kami sebelum ini dan merasai bulan madu sebagai suami isteri,” ujarnya.

Tambah Sarimah, mereka akan berbulan madu pada bulan Jun ini dan akan mengambil masa selama tiga minggu berada di sana.

Bercerita bagaimana Sarimah terbuka hati menerima Tunku Jamie, jelas wanita ini, semuanya bermula dengan sikap jejaka itu sendiri.

“Jamie seorang yang sangat gentleman dan tenang. Dia tidak memaksa dan itu yang buat saya selesa untuk menerima dia,” jelasnya.

Bersama dengan Tunku Jamie juga adalah percintaan pertama bagi Sarimah dengan seorang jejaka Melayu.

“Sebelum ini saya hanya bercinta dengan jejaka bukan Melayu. Tetapi kali ini sebaliknya. Banyak perkara yang saya dapat lakukan bersama kerana budaya yang sama,” ujarnya.

Bagi Tunku Jamie pula, dia melihat Sarimah sebagai seorang wanita yang berbeza pernah ditemuinya sebelum ini.

“Sarimah adalah seorang yang sering membuat saya ketawa, kelakar dan seorang yang sangat positif.

“Tetapi, dalam kelakarnya itu, ada sikap ambil berat dalam dirinya terhadap saya. Perwatakan itu yang buat saya tertarik dengannya,” jelasnya.

-  Utusan Online | Oleh: MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI