Aktres yang memiliki senyuman paling menawan di Bollywood, Madhuri Dixit genap berusia 48 tahun, Jumaat lalu.
Sempena ulang tahunnya itu, semua rakan artis terutama yang seangkatan dengannya mengucapkan ‘selamat hari jadi’.
Dia yang masih kelihatan jelita dan menawan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh peminat dan bakat baru dalam dunia lakonan.
Dia menceburi dunia Bollywood pada 1984 menerusi filem Abodh arahan Hiten Nag dan namanya mula meniti di bibir peminat selepas dia membintangi filem Tezaab pada 1988.
Ibu anak dua itu seterusnya mula memahatkan namanya di persada seni India menerusi barisan filem seperti Ram Lakhan, Parinda, Dil, Saajan, Beta, Khalnayak, Hum Aapke Hain Koun!, Dil To Pagal Hai dan Devdas.
Berikutan sumbangannya yang begitu besar kepada industri filem Bollywood, pada 2008 aktres itu dianugerahkan Anugerah Padma Shri.
Madhuri yang berkahwin dengan pakar bedah, Dr Sriram Madhav Nene pada 1999 pernah menetap di Amerika Syarikat buat seketika kerana mengikuti suaminya.
Dek kerana jiwa seni yang masih menebal dia sekeluarga kembali ke India dan dia membuka syarikat produksinya sendiri serta akademi tarian atas talian.
Heroin ternama itu terus unggul dan dihormati kerana komitmen, karisma dan seluruh hidupnya yang pernah didedikasikan kepada dunia lakonan.
Antara rakan aktor dan aktres yang mengucapkan ‘selamat hari jadi’ kepadanya ialah Riteish Deshmukh, Yami Gautam, Shraddha Kapoor, Manish Paul dan Karan Wahi.