Protokol HTTP, ataupun nama penuhnya, Hypertext Transfer Protocol merupakan salah satu perkara utama dalam arena web, serta menjadi sala...

9:32 PM by Unknown

Protokol HTTP, ataupun nama penuhnya, Hypertext Transfer Protocol merupakan salah satu perkara utama dalam arena web, serta menjadi salah satu pusat utama untuk komunikasi data dalam dunia web. Terkini, kemaskini protokol untuknya, iaitu HTTP/2 telah pun diumumkan dengan beberapa pembaharuan.
HTTP/2 ini hadir lebih kurang selepas 16 tahun versi pertama hadir. Piawaian untuknya telah pun diselesaikan pembangunannya, dan kini ia akan melalui proses editorial sebelum diterbitkan sebagai piawaian utama.
Melalui HTTP/2, ia menggunakan API HTTP yang lebih kurang sama tetapi menawarkan lebih banyak fungsi. Salah satu fungsi utama yang dibawakan olehnya adalah kebolehan mengakses web dengan lebih pantas berbanding protokol sedia ada. Untuk menjayakan akses yang lebih pantas, ia menggunakan sebuah fungsi dinamakan multiplexing yang membolehkan lebih daripada satu permintaan HTTP dilakukan pada sesuatu masa, sekaligus menjadikan masa loading untuk sesuatu halaman lebih pantas.
Protokol baru ini dikatakan berasaskan kepada protokol SPDY daripada Google, dan pihak Google sendiri telah mengatakan akan mengimplementasikan sokongan HTTP/2 ini pada Chrome sepantas mungkin.
Selain Google dengan Chrome, kita juga mungkin akan dapat melihat Mozilla dan Opera melakukan perkara sama pada pelayar web mereka.
Kini, mungkin kita perlu nantikan piawaian HTTP/2 ini melepasi fasa editorial, dan seterusnya diimplementasikan pada pelayar web, sebelum para pengguna seluruh dunia dapat menikmati web yang lebih pantas berbanding sebelumnya.