MOSUL - Kumpulan militan Negara Islam (IS) secara zalim menjatuhkan hukuman bunuh ke atas 13 orang remaja, gara-gara menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Asia antara pasukan Iraq dan Jordan, minggu lalu.Aktivis anti-IS yang dikenali sebagai Raqqa is Being Slaughtered Silently melaporkan, hukuman bunuh itu dilaksanakan di kawasan awam dengan setiap remaja itu ditembak menggunakan mesingan oleh pasukan penembak.
Mail Online melaporkan, kesemua remaja berkenaan menyaksikan perlawanan tersebut melalui televisyen di bandar al-Yarmouk di sini yang dikuasai IS.
“Mayat mereka dibiarkan di kawasan berkenaan dan ahli keluarga mangsa tidak dapat mengambil mayat-mayat tersebut kerana bimbang akan dibunuh oleh anggota IS.
“Anggota IS turut membaca kesalahan yang telah dilakukan oleh remaja-remaja terbabit dengan menyatakan menonton perlawan bola sepak adalah menyalahi undang-undang Islam,” jelas aktivis itu dalam laman webnya.
Hukuman bunuh berkenaan dijalankan beberapa hari selepas IS memuat naik sebuah video yang memaparkan mereka membaling ke bawah dua orang lelaki dari sebuah menara di Mosul.
Tindakan tersebut dilaksanakan setelah mereka didapati bersalah melakukan aktiviti homoseksual yang menyalahi undang-undang Syariah.
| Sumber |
