Sahabah Cafe  Biarpun isu boikot semakin hangat namun para peniaga makanan tidak akan tunduk dengan ancaman tersebut. Peniaga makanan...

5:40 PM by Unknown
Sahabah Cafe 

Biarpun isu boikot semakin hangat namun para peniaga makanan tidak akan tunduk dengan ancaman tersebut.

Peniaga makanan bukan degil atau ingkar dengan desakan pengguna tetapi mereka juga terpaksa berhadapan dengan isu-isu lain yang membabitkan kos.

Pemilik Restoran Sahabah berkata, beliau terpaksa menanggung kos yang tinggi apabila Malaysia menguatkuasakan gaji minimum RM900 pada tahun lalu.

Semasa pelaksanaan dibuat, para peniaga makanan terpaksa berhadapan dengan kenaikan tarif elektrik, selain lonjakan harga barang mentah.

Pada bulan Oktober tahun lalu, kerajaan juga menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

"Saya tidak menafikan harga petrol dan diesel sudah turun tetapi kami masih lagi menyerap kenaikan-kenaikan yang berlaku pada tahun lalu terutama pelaksanaan gaji minimum. Orang ramai bising kerana harga makanan tidak diturunkan tetapi adakah kos gaji yang dinaikkan boleh diturunkan.

"Kalau boleh memang saya tidak ada masalah untuk menurunkan harga makanan," katanya ketika ditanya mengenai sama ada mahu menurunkan harga makanan yang dijual.

Beliau yang memiliki kira-kira 10 orang pekerja di restoran tersebut tidak menafikan pelaksanaan gaji minimum merupakan cabaran bagi peniaga makanan.

Gaji minimum itu tidak termasuk elaun lebih masa serta kos kemudahan penginapan termasuk bil elektrik dan air yang perlu ditanggung oleh majikan.

Katanya lagi, harga sewa premis sebanyak 20 hingga 30 peratus juga perlu ditanggung setiap dua tahun.

"Penurunan harga petrol dan diesel sahaja tidak cukup untuk mengurangkan harga makanan yang dijual. Sampai hari ini harga barang-barang mentah tidak betul-betul turun, malah ada yang naik seperti udang, sotong dan daging," keluhnya.

| Sumber: MalaysiaGazette |