CERITA mengenai gadis kelahiran Bandar Seri Begawan, Brunei bernama Nina Iskandar tidak habis-habis diperkatakan. Dari mula dia hadir ke Ma...

3:53 PM by Unknown
CERITA mengenai gadis kelahiran Bandar Seri Begawan, Brunei bernama Nina Iskandar tidak habis-habis diperkatakan. Dari mula dia hadir ke Malaysia semata-mata untuk melebarkan sayap sebagai pelakon, namanya tidak pernah putus melalui episod panas.

Belum lagi kerjaya lakonannya mencuri perhatian, namun sensasi cintanya meluru menjaja namanya. Mula-mula dibakar gosip cinta bersama anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa iaitu Muhammad Adib, Nina kemudiannya memperjudikan populariti apabila mendedahkan kekasih terbaharunya, Ahmad Heikal, 30.

Pelakon filem Muka Surat Cinta dan Lu Gua Bro itu membuat kejutan apabila nekad mengambil keputusan untuk bertunang dengan kekasihnya, Ahmad Heikal yang merupakan seorang ahli perniagaan pada Ogos tahun lalu. Tapi semuanya hanya sementara. Nina dikatakan tidak lagi mempunyai hubungan dengan Ahmad Heikal.

Hits berkesempatan berhubung dengan pelakon berusia 24 tahun ini yang kini berada di negara kelahirannya. Ikuti penjelasan Nina yang tenang menjawab tentang kemelut yang melanda dirinya.

HITS: Baru-baru ini ada dakwaan mengatakan Nina sudah putus tunang. Adakah benar perkara itu?

NINA: Ini adalah hal peribadi dan saya tidak selesa untuk komen panjang lebar tentang perkara ini. Apa lagi berkongsi dengan umum.

Perkara tersebut dipercayai timbul selepas wujudnya orang ketiga. Betul?

Maaf, saya enggan menjawab dakwaan itu. Saya tidak tahu mengenai kewujudan orang ketiga seperti yang diperkatakan.

Buat masa ini Nina tidak mahu berkongsi perkara yang berlaku. Apa yang diharapkan?

Ya, saya memang tidak akan kongsi apa-apa. Saya lebih tenang begini. Saya harap semua orang hormat keputusan yang dibuat. Doakan yang terbaik sudah.

Dengan erti kata lain, Nina seorang perahsia?

Ya, saya boleh katakan diri saya sedikit perahsia. Saya akan pilih perkara yang patut sahaja untuk dikongsi. Lebih senang, saya ikut lumrah, listen to many, speak to a few, trust no one.

Dengar kata, Nina juga sudah kembali dengan imej sebelum ini (tidak memakai tudung). Benar semua itu?

Saya sudah bosan kerana ramai yang kata saya sudah tidak bertudung. Gambar yang saya muat naik itu hanyalah untuk sesi fotografi dan saya memakai topi bagi menutup aurat. Kalau pakai topi atau turban bukan bermakna sudah tidak bertudung. Ramai saja artis wanita yang saya lihat memakai turban walaupun mereka berhijab.

Nina kembali ke Brunei kerana kecewa dengan kisah putus tunang?

Tidak ada kena-mengena dengan apa-apa. Saya berada di Brunei untuk bercuti selepas lama tidak pulang. Saya pulang ke kampung halaman untuk berehat seketika dan menenangkan diri selepas menjalani dua penggambaran drama episod. Insya-Allah, saya akan kembali ke Malaysia April nanti.

Selepas ini, Nina tidak kisah dikritik orang?

Tak kisah. Mulut orang tidak boleh kita tutup. Tiada siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan, sama ada disengajakan atau tidak. Bagi saya, orang yang kritik tu lebih baik gunakan masa dengan bijak untuk memperbaiki diri-sendiri sebelum mencari kesalahan orang lain. Yang penting ini hidup saya dan saya hidup untuk diri sendiri, bukan untuk orang lain.